Astronomi Islam/Falak Perlu Pelan Strategik Nusantara

oleh; S.A, Nawawi

22 November 2019;- Program Astronomi Islam, Jabatan Fiqh dan Usul (JFU), Akademi Pengajian Islam, Universiti  Malaya (APIUM) telah menganjurkan Syarahan Profesor Dr Susiknan Azhari (Profesor Hukum Islam dan Astronomi Islam) dari Universitas Islam Negeri (UIN) Sunan Kalijaga Yogyakarta, Indonesia. Syarahan yang berlangsung di Balai [email protected], Akademi Pengajian Islam ini berjaya menarik minat lebih kurang 100 orang yang terdiri daripada mahasiswa-mahasiswa, pensyarah-pensyarah, wakil-wakil agensi, dan kelab atau pertubuhan.

Antara yang hadir pada hari tersebut adalah

Dr Luqman Hj Abdullah (Ketua JFU), Profesor Dato’ Dr Mohd Zambri Zainuddin (Profesor Kehormat Universiti Malaya), Encik Shahrin Ahmad (Falak Online),  Amirul Hazim (Apadilangit), Encik Joko Satria A (Permata Pintar, Universiti Kebangsaan Malaysia), wakil Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, wakil  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), wakil Jabatan Mufti Selangor, wakil Insitut Latihan Islam Malaysia (ILIM), wakil Jabatan Mufti Negeri Sembilan dan wakil Jabatan Mufti Pahang serta ahli-ahli Persatuan Jurufalak Syarie (JUFAS).

Syarahan Profesor Dr Susiknan Azhari memfokuskan “Ilmu Falak di Alam Melayu; Cabaran dan Prospek”. Beliau memulakan syarahan dengan menyoroti sumbangan tokoh-tokoh falak yang telah berjaya mengembangkan ilmu falak di Alam Melayu. Antaranya Tuan Haji Mohd. Khair Hj. Mohd Taib, Tuan Guru Abdullah Fahim, Tuan Haji Abdul Rahman Hussain, Kiyai Haji Ahmad Dahlan, Syekh Tahir Jalaluddin Al-Azhari, Saadoe’ddin Djambek, Ustaz Abdur Rachim, K.H Turoihan Ajhuri Asy-Syarofi dan ramai lagi.  

Sementara itu,  Prof Susiknan menerangkan susur galur ilmu falak yang diperolehi beliau adalah berasal daripada Ustaz  Abdur Rachim yang telah berguru dengan anak-anak murid kepada Syekh Tahir Jalaluddin Al-Azhari.  Sosok tubuh Syeikh Tahir Jalaluddin ini telah memberikan sumbangan besar dalam Alam Melayu khususnya dalam bidang falak contohnya penggunaan sudut waktu solat subuh 20 darjah masih digunakan sehingga kini di rantau ini.

Bagi Profesor Susiknan, semangat  silaturrahim merentasi sempadan negara di antara tokoh-tokoh falak dan dalam kalangan anak-anak murid mereka ini perlu dicontohi oleh generasi kini bagi mengembangkan ilmu falak.  

Seterusnya, Profesor Susiknan menelusuri perkembangan falak di Institusi pengajian tinggi di Alam Melayu. Menurut beliau, ilmu falak di peringkat universiti di Malaysia telah berkembang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Universiti Sains Malaysia (USM), dan Universiti Malaya (UM). Manakala di Indonesia pula, ilmu falak secara sistematik telah berkembang di

Fakultas Syariah dan Hukum UIN Walisongo Semarang. Sehingga kini UIN tersebut berjaya menawarkan ijazah peringkat pengajian Sarjana Muda, Sarjana dan PhD dalam bidang falak. Seterusnya, pada 2015 UIN Sunan Ampel, Surabaya telah memulakan jurusan Sarjana Muda dalam bidang falak dan seterusnya pada 2016 UIN Alauddin Makassar telah diberi kebenaran oleh kerajaan Indonesia melakukan perkara yang sama. Justeru, kerajaan Indonesia sekarang ini secara agresif menyokong dan mendukung perkembangan falak di institusi pengajian tinggi.

Dalam pada itu, dari aspek jurnal falak di Alam Melayu mengikut Profesor Susiknan, jurnal yang pertama di Indonesia adalah Jurnal Hisab dan Rukyat (1999), jurnal ini pernah diterbitkan sekali sahaja.

Kini terdapat Jurnal El-Falaky (UIN Alauddin Makassar), Jurnal Falak (JAKIM-APIUM), Jurnal al-Marsad (Universiti Muhammadiyah Sumatera Utara UMSU)

yang diterbitkan secara berkala di rantau ini. Beliau berharap tiga jurnal  ini perlu diperkemaskan dan diangkat sehingga peringkat global.

Sehingga kini, Prof Susiknan mengakui perkembangan ilmu falak banyak didominasi oleh negara Malaysia dan Indonesia. Manakala negara Brunei, Singapura dan Thailand setakat pengetahuan beliau agak kurang jika dibandingkan dengan dua negara tersebut.Sehubungan itu, antara cabaran ilmu falak di Alam Melayu menurut Profesor Susiknan adalah

perlunya sokongan dan dokongan dari kerajaan dalam menyokong kelangsungan pengajian falak di insitusi pengajian tinggi  seperti yang dilakukan oleh kerajaan Indonesia. Ini kerana Malaysia dan Indonesia berpotensi menjadi hub untuk melatih pelajar-pelajar dari Thailand, Brunei dan Singapura dalam memacu perkembangan di dalam bidang yang bersifat fundamental ini.

Dalam pada itu, untuk menawarkan program astronomi Islam/falak di peringkat universiti, mengikut  Profesor Susiknan, pihak universiti perlu menitik beratkan dua perkara pokok;

pertamanya; aspek falsafah, keduanya; aspek praktikal. Kedua aspek ini perlu digabung jalinkan atau disulam dengan sebaik mungkin.  

Program astronomi Islam/Falak yang dibentuk  perlu mecernakan prinsip  “ATM” iaitu

A=Amati, T=Tiru dan M=Modifikasi. Ini kerana mengikut beliau lagi pada zaman kecemerlangan astronomi Islam/falak, para ilmuan Islam bermula dengan menterjemahkan karya-karya dari bahasa asing, seterusnya mengkaji dan akhirnya melakukan penemuan-penemuan yang baharu. 

Setelah  lima hari beliau berkampung di UM sebagai penilai luar Program Astronomi Islam APIUM, Profesor Susiknan memperakui bahawa program Astronomi  Islam di UM merupakan program yang unik yang berjaya mengadunkan sains dan ilmu falak yang merangkumi aspek falsafah dan praktikal. Beliau optimis program ini mampu menjadi unggul di pentas antarabangsa sekiranya diberikan sokongan dan penambahbaikan dari aspek pengajaran pembelajaran serta  prasarana yang berkaitan.

Dalam sesi soal jawab, Dr Ghaffar Surip (Ketua Penolong Pengarah Kanan, JAKIM), telah mengutarakan beberapa isu penting. Antaranya menurut Dr Ghaffar dalam konteks Nusantara, Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama; Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia, Singapura (MABIMS) telah berperanan dengan baik dalam mengkoordinasi hal-hal berkaitan falak.

Pelbagai mesyuarat berkaitan falak dari pelbagai peringkat seperti mesyuarat melibatkan panel pakar falak, pegawai, ketua pengarah sehingga menteri-menteri agama negara angota telah diadakan secara berkala. Namun begitu, mengikut Dr Ghaffar perlu diberikan perhatian adalah peluang pekerjaan lulusan astronomi Islam/falak yang kurang memberangsangkan. Aspek perjawatan di jabatan-jabatan kerajaan seperti di balai cerap perlu diberikan perhatian mengikut Dr Ghaffar.

Justeru, Dr Ghaffar mencadangkan perlunya satu badan profesional berkaitan falak seperti yang terdapat dalam bidang-bidang yang lain seperti Majlis Peguam, Majlis Perubatan Malaysia dan sebagainya. Dengan adanya badan profesional falak nanti diharap badan ini dapat mengangkat profesion falak dengan lebih baik. Sehubungan itu, Dr Ghaffar berharap agar JUFAS dapat bertindak dalam menjuarai isu ini.  

Seterusnya lagi, Dr Ghaffar membangkitkan keperluan adanya Pelan Strategik Falak Nusantara ke arah menjadikan nusantara sebagai  leader dalam bidang ini di peringkat antarabangsa sepertimana yang dilakukan oleh negara Turki dalam menggagaskan Kalendar Hijri Global baru-baru ini.

Untuk merespon saranan Dr Ghaffar,  Profesor Susiknan berpandangan bahawa Program Astronomi Islam/Falak di Indonesia mahupun di Malaysia, bukannya berdiri sebagai sub pengkhususan yang sempit. Contohnya program Astronomi Islam (UM) merupakan program Sarjana Muda Syariah (Astronomi Islam). Sekiranya  penguasaan mahasiswa dalam bidang syariah di samping astronomi Islam yang mantap, sepatutnya menjadikan peluang pekerjaan kepada mereka lebih luas, seterusnya menyumbang kepada masyarakat.

Kemudian, Profesor Susiknan menyambut baik saranan Dr Ghaffar mengenai Pelan Strategik Falak Nusantara agar perkara yang dibincangkan dalam falak di nusantara ini tidak bersifat ‘berulang-ulang”. Bagi Profesor Susiknan perlu diletakkan sasaran atau matlamat jangka pendek dan jangka panjang pencapaian yang diimpikan bersama di Alam Melayu ini. Akhirnya, Profesor Susiknan yakin dengan usaha semua pihak, astronomi Islam/falak di Nusantara mampu memberikan sumbangan yang signifikan kepada dunia sekiranya semua pihak berganding bahu meneruskan usaha murni ini.

Program Syarahan “Falak di Alam Melayu; Cabaran dan Prospek”  disudahi dengan penyampaian cenderahati oleh Dr Raihana Abdul Wahab (Penyelaras Program Astronomi Islam, APIUM) kepada YBhg Profesor Dr Susiknan Azhari.

Scroll to Top