Ulasan: Kenapa 1 Syawal 1442 di Dunia 13 Mei 2021?

oleh: S.A, Nawawi

Covid-19 dan Syawal 1442

1 Syawal 1442 masih dalam suasana Covid-19 melingkari kehidupan kebanyakan Muslim di dunia. Negara India masih mencari formula menyelamatkan banyak nyawa, Turki melaksanakan total lockdown sebelum dan selepas lebaran. Malaysia dan Indonesia sepakat tidak membenarkan mudik dan pergerakan merentas negeri. Tahun ini kali kedua buat perantau dikota tidak dapat mengucup dahi ayah dan bonda atau menjamah lemang dan ketupat di desa. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berceretek sini sana selamat diumumkan oleh pemerintah tika Bulan di akhir fasa. Sehari sebelum diintai anak bulan Syawal 1442, dimashurkan PKP akan berkuatkuasa diseluruh negara. Pun begitu, terdapat juga negara yang boleh menghela nafas “lega” seperti Brunei Darussalam, New Zealand,  Taiwan dll dalam melawan wabak corona.

Sumber: https://kpkesihatan.com

Hisab dan Rukyah

1 Syawal 1442 dengan izinNya tetap akan raya. Pedoman baginda Nabi Muhammad S.A.W menjadi sandaran para ulama dan pemerintah.  Kaedah hisab (pengiraan) dan rukyah (cerapan) sebagai patokan zaman berzaman.

Rasulullah SAW bersabda: “Berpuasalah kamu apabila melihat anak bulan dan berbukalah (berhari raya) sekiranya melihat anak bulan. Sekiranya mendung, maka sempurnakanlah 30 hari Syaaban” (Sahih Bukhari).

“Jangan kamu berpuasa sehingga kamu melihat anak bulan dan jangan kamu berbuka sehingga kamu melihat anak bulan. Sekiranya mendung, maka taqdirkanlah” (Sahih Bukhari)

Penentuan tarikh 1 Syawal 1442 tahun ini, perlu diperhatikan tarikh sesebuah negara mahupun kelompok Muslim tertentu berpuasa bagi tahun 1442. Hari ke 29 Ramadan 1442 yang berlangsung akan menentukan samaada puasa tahun ini  30 hari atau sekadar 29 hari cuma.  

24 Negara sambut 1 Syawal pada 13 Mei 2021

Menurut Islamic Crescents Observation Project (ICOP)  terdapat 22 negara iaitu Algeria, Bahrain, Mesir,  Perancis, Jerman,  Indonesia, Iraq, Jordan, Kuwait,  Lubnan,  Libya, Malaysia, Mauritania, Palestin, Qatar,  Saudi Arabia, Sudan, Syria, Tunisia, Turki,  United Arab Emirates, Yaman  telah mula berpuasa pada 13 April 2021 (Selasa). Begitu juga, di Singapura dan Australia . Pada 11 Mei 2021 bersamaan 29 Ramadan 1442 masing-masing akan menunaikan tuntutan hadis Nabi S.A.W untuk mencerap anak bulan atau menggunakan hisab falak bagi menentukan tarikh hari yang diharamkan puasa 1 Syawal 1442H. Untuk tahun ini, 24 buah negara tersebut dijangkakan akan berpuasa bukan dengan bilang 29 hari tetapi akan genap bilangan Ramadan kepada 30 hari.

Ijtimak, Iqtiran atau Conjunction

Ini kerana semasa anak bulan dihisab atau dirukyah kebanyakan di negara-negara terbabit, ijtimak atau iqtiran atau conjunction belum berlaku.  Ijtimak secara mudahnya, merujuk kepada keadaan ketika bumi, bulan dan matahari berada pada garisan yang sebaris ataupun bumi, bulan, matahari berada pada longitude yang sama. Dalam setahun ijtimak berlaku sebanyak 12 kali.  Gerhana juga berlaku ketika ijtimak. Namun, tidak semua keadaan ijtimak akan terjadi gerhana, tetapi yang pasti gerhana berlaku setiap kali berlakunya ijtimak. Perlu ada syarat-syarat lain untuk membolehkan gerhana berlaku.

Ijtimak, Iqtiran atau Conjunction 
Sumber: https://moonblink.info/Eclipse/why/months

Melalui hisab falak, Syawal 1442  seluruh dunia akan berpedomankan ijtimak yang akan berlaku pada 12 Mei 2021 pada jam 3.00 pagi waktu Malaysia. Ijtimak penting untuk menentukan umur anak bulan. Seperti umur manusia, ia mula dikira sejak bayi dilahirkan dan meningkat sejam, dua jam, sehari, seminggu, sebulan, setahun, 20 tahun, 30 tahun, 50 tahun seterusnya sehingga satu tempoh yang pasti akan tiba iaitu MATI. Bagi Bulan pula, umurnya bermula dengan  setelah terjadinya ijtimak, kemudian dikira sesaat, dua saat, 2 minit, seterusnya akan membesar, 1 jam, 3 jam, 9 jam, 30 jam 90 jam, 15 hari, 16 hari, 18 hari sehingga satu tempoh yang tetap iaitu 29.5 hari. Setelah bulan berumur 29.5 hari, ijtimak seterusnya akan mengambil tempat. Begitulah seterusnya, bulan beredar mengelilingi bumi seiring dan sejalan dalam tempoh 29.5 sebanyak 12 kali untuk melengkapkan tempoh setahun kitarannya.

Anak Bulan Umur 18.33 jam dirakam oleh Penyelidik Universiti Malaya (UM)
Sumber: Makmal Fizik Angkasa, UM

Dalam hal ini, semakin kecil umur bulan, semakin nipis bentuk bulan, makin sukar pulak untuk kelihatan.  Anak bulan bukan seperti anak manusia (bayi), sejurus setelah dilahirkan boleh ditilik dekat-dekat  mata, hidung, kaki, rambut, yang pasti ingin benar diketahui jantinanya. Anak bulan berada nuh jauh beribu kilometer dari mata manusia. Maka perlukan alat bantuan seperti teleskop, binokular, teodolit untuk melihat bentuk anak bulan yang kecil itu. Sejurus ijtimak telah berlaku, umur anak bulan masih muda iaitu sejam, dua, tiga, atau empat jam, tetap sulit utuk diintai bentuk bulan yang tipis itu. Untuk melihat anak bulan pula,  bukan di waktu pagi, bukan dinihari, bukan tika matahari kedudukan segalah. Namun, anak bulan akan dirukyah setelah matahari melabuhkan tirainya. Dengan kira-kira umur bulan sejam, dua, tiga atau empat jam, ditambah cahaya matahari terang di ufuk barat, sulit dan mustahil dari segi adat untuk bulan kelihatan di celah cahaya matahari yang terang benderang. Justeru, berdasarkan pengalaman dan cerapan, ahli falak meletakkan syarat minimum dari segi adat untuk anak bulan kelihatan atau sebaliknya (possibility of sighting).

Program Menjelang Syawal 1442  oleh Persatuan Falak Syar’I Malaysia
Sumber: FB Persatuan Falak Syar’I Malaysia

Mustahil” Anak Bulan Kelihatan  di Asia Tenggara 11 Mei 2021

Persoalannya kini, semasa 29 Ramadan 1442 bersamaan 11 Mei 2021 pada waktu berbuka puasa,  adakah ijtimak telah berlaku? Bagi negara di rantau Asia Tenggara, pada 11 Mei 2021 semasa waktu azan maghrib berkumandang di bumi Asia Tenggara ijtimak masih belum belaku. Kira-kira 7 jam lebih selepas azan maghrib 11 Mei 2021 barulah ijtimak akan berlaku. Ini kerana Ijtimak berlaku pada 12 Mei 2021 jam 3 pagi waktu Malaysia. Justeru, mustahil anak bulan dilaporkan kelihatan disebabkan ijtimak masih belum berlaku. Bagi negara-negara di rantau ini yang telah berpuasa 29 hari Ramadan pada 11 Mei 2021 sudah pasti dicukupkan bilangan puasa 30 hari. 1 Syawal akan jatuh pada 13 Mei 2021 di rantau Asia Tenggara bagi mereka yang mula menunaikan kewajipan puasa pada 13 April 2021.

Peta Kenampakan Anak Bulan pada 11 Mei 2021, Mustahil anak bulan kelihatan bagi Kawasan yang dilorek berwarna merah.
Sumber: Accurate Times Odeh

Anak Bulan “Mustahil” Kelihatan 11 Mei 2021 di Timur Tengah

Bagi negara Timur tengah pula, contohnya negara Arab Saudi. Negara ini berbeza 5 jam dengan Malaysia. Sekiranya azan asar berkumandang di Malaysia, di Arab Saudi kira-kira masih sedang sembahyang zohor berjemaah. Ini bermakna sekiranya Malaysia telah masuk waktu maghrib dan sedang mengintai anak bulan yang sama pada 29 Ramadan 1442, 5 jam selepas itu barulah pencerap-pencerap di negara Saudi akan mencerap anak bulan. Jadi, ketika Maghrib di Arab Saudi Ijtimak masih belum berlaku. Kenapa? Ini kerana ijtimak berlaku 3 pagi waktu Malaysia 12 Mei 2021 bersamaan 10 malam 12 Mei 2021 waktu Arab Saudi. Ini bermaksud pencerap di negara Arab Saudi akan mencerap anak bulan empat jam sebelum ijtimak berlaku. Sekiranya terdapat saksi yang mengatakan anak bulan kelihataan di Saudi dan di rantau Timur Tengah seperti UAE, Jordan, Kuwait, Qatar, Mesir pada 11 Mei 2021 sudah pasti ia merupakan berita yang tidak logik atau cubaan menipu mengenai kesaksian anak bulan. Justeru, kebanyakan negara-negara di Timur Tengah juga akan menyambut Aidilfitri 1442 pada Khamis 13 Mei 2021 bagi mereka yang telah berpuasa 29 hari pada 11 Mei 2021.

Program Menjelang Syawal 1442H
Sumber: Jabatan Mufti Negeri Perak

Fatwa Rokok dan Ilmu Falak

Dalam pada itu, menurut Sheikh Dr Yusuf Qaradhawi, dalam buku Mujibat Taghayyur al-Fatwa fi ‘Asrina antara faktor-faktor perubahan fatwa yang perlu diambil kira adalah perubahan maklumat  semasa. Sebagai contoh rokok, jika dahulu rokok mempunyai pelbagai hukum seperti makruh, haram dan sebagainya. Dengan ilmu perubatan terkini, pelbagai mudharat yang terdapat dalam sebatang rokok yang telah diperakui oleh para doktor perubatan. Nah, maka tepatlah fatwa pada masa kini yang menfatwakan rokok sebagai haram setelah mempertimbangkan dalil-dalil Quran, hadis, dan maklumat semasa dalam bidang perubatan.  Begitu juga dalam bidang falak, mengikut Yusuf Al-Qaradhawi, oleh kerana semua ahli falak/ahli astronomi samada Muslim atau non-Muslim bersepakat mengatakan sekiranya ijtimak masih belum berlaku ketika cerapan anak bulan 29 Ramadan, maka mustahil untuk anak bulan boleh kelihatan. Sekiranya ada dakwaan mengatakan anak bulan kelihatan maka hakim perlu menolak kesaksian tersebut. Kesaksian itu  adalah tidak benar atau ia merupakan satu dakwaan palsu.

Anak Bulan Tidak Mungkin Kelihatan di Eropah

Bagaimana pula dengan negara Eropah seperti Jerman, Perancis, United Kigdom?  Adakah ijtimak telah berlaku ketika matahari terbenam bagi negara-negara Eropah pada 11 Mei 2021? Umum mengetahui beza waktu Malaysia dan United Kigdom  8 jam. Ijtimak berlaku 7 malam waktu UK, kira-kira waktu anak bulan dicerap setelah matahari terbenam di United Kingdom, anak bulan berumur kurang 1 jam. Sulit dan sukar untuk anak bulan kelihatan. Dalam hal ini,

Imam Taqiuddin al-Subki (m.1370) dalam kitab Al-Fatawa Al-Subki menyatakan bahawa sekiranya kedudukan anak bulan tidak mungkin (‘adamu al-Imkan) untuk dilihat maka perlu ditolak sekiranya ada saksi yang mendakwa anak bulan telah kelihatan.

Dalam keadaan begini,  sudah pasti bagi penduduk di Eropah yang telah berpuasa 29 hari dalam bulan Ramadan 1442 pada 11 Mei 2021 akan menyambut lebaran pada 13 Mei 2021 samada mereka menggunakan kaedah hisab atau rukyah anak bulan.

Peluang Untuk Anak Bulan Kelihatan Tinggi 12 Mei 2021 untuk Raya pada 13 Mei 2021

Namun begitu, agak menarik untuk memerhatikan negara-negara yang mula berpuasa tahun ini lewat sehari iaitu 14 April 2021. Mengikut Islamic Crescents Observation Project (ICOP), terdapat 10 negara yang berpuasa pada 14 April 2021 iaitu Bangladesh, Brunei Darussalam, Ghana, India, Iran, Morocco, Nepal, Oman, Pakistan, dan Sri Lanka. Penduduk di negara terbabit akan mencerap anak bulan pada 12 Mei 2021 bukan 11 Mei 2021 seperti di Malaysia. Ini kerana 29 Ramadan 1441 bagi mereka akan jatuh pada tarikh 12 Mei 2021. Bagaimana keadaan anak bulan? Berapakah umur anak bulan  semasa mereka mencerap anak bulan?

Anak Bulan Termuda (umur:12 jam) merupakan rekod dunia yang dirakamkan oleh En Muzamir Mazlan di Balai Cerap Telok Kemang pada Ramadan 1440 (2019)
Sumber: ICOP

Di rantau ini, agak menarik untuk perhatikan negara Brunei Darussalam yang mengamalkan rukyah sebagai penentu. Semasa matahari terbenam 12 Mei 2021 umur bulan diperkirakan lebih 15 jam.  Peluang untuk anak bulan nampak itu ada, ini kerana rekod anak bulan pernah kelihatan didunia dalam sekitar 12 jam  dengan bantuan peralatan optik. Namun apa yang menjadi hambatan pada 29 Ramadan 1442 di Brunei, hanya satu iaitu “cuaca”. Sekiranya cuaca mengizinkan anak bulan akan kelihatan, seluruh warga brunei akan menyambut 1 Syawal 1442H pada 13 Mei 2021. Masyarakat Islam di Brunei akan menyambut lebaran satu tarikh bersama dengan kawasan sempadan seperti Limbang di Sarawak. Jika cuaca menghalang, negara Brunei akan lambat sehari dari dengan negara jiran tetangga Malaysia, Singapura, Indonesia dll.


Peta Peluang Kenampakan Anak Bulan pada 12 Mei 2021
Warna Hijau: mudah dilihat dengan matakasar
Magenta: Kemungkinan anak bulan boleh kelihatan dengan mata
Warna Biru: Perlukan Alat Bantu untuk Melihat anak bulan
 
Sumber: Accurate Times Odeh

Bagi negara  Timur Tengah  seperti Oman, Iran, Moroko yang menyambut 1 Ramadan 1442 pada  14 April  2021, peluang untuk melihat anak bulan Syawal 1442 adalah lebih tinggi. Ini kerana umur anak bulan ketika 29 Syawal 1442  di negara tersebut hampir 19-24 jam. Cuma ada satu sahaja faktor penghalang iaitu “cuaca”. Sekiranya langit cerah anak bulan akan kelihatan di negara-negara tersebut. Mereka akan menyambut 1 Syawal 13 Mei 2021, jika sebaliknya, mereka akan berpuasa genap 30 hari. Begitu juga, bagi kelompok Muslim yang  berada di Eropah yang memulakan puasa pada 14 April 2021, peluang untuk anak bulan kelihatan lebih tinggi di sana.

Justeru, 1 Syawal 1442 akan disambut pada 13 Mei 2021 bagi Umat Islam yang mula berpuasa pada 13 April 2021. Peluang untuk anak bulan Syawal 1442 kelihatan agak tinggi di seluruh dunia  bagi ummat Islam yang mula puasa 14 April 2021.  Kemungkinan 13 Mei 2021 merupakan 1 Syawal 1442 bagi kebanyakan Muslim pada tahun ini. Walaupun begitu, sekiranya cuaca tidak bersahabat pada 12 Mei 2021 nanti, raya akan disambut lewat sehari bagi mereka yang mula puasa 14 April 2021.  Samaada 13 atau 14 April 2021 tarikh 1 Syawal 1442, apa yang lebih penting adalah Umat Islam di seluruh dunia akan bersama-sama menadah tangan di pagi Syawal untuk berdoa pada yang Esa agar Covid-19 lekas berlalu pergi.

Selamat Hari Raya 1442 Hijrah  Maaf Zahir Batin

Keputusan Rasmi  Aidildilfitri 1442 diumumukan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui Media pada 11 Mei 2021 

Rujukan:

[1] https://www.aljazeera.com/news/2021/5/3/india-covid-cases-near-20-million-uk-to-send-more-aid-live-news

[2] https://www.dailysabah.com/turkey/expat-corner/turkeys-17-day-total-lockdown-everything-you-need-to-know

[3] https://tekno.kompas.com/read/2021/05/06/09120067/mudik-dilarang-menkominfo-ajak-masyarakat-ber-lebaran-digital. https://www.utusan.com.my/berita/2021/05/larangan-rentas-negeri-kekal-sehingga-17-mei/

[4] https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/05/813687/6-daerah-di-selangor-kena-pkp, https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/05/814070/beberapa-daerah-di-johor-terengganu-perak-dikenakan-pkp, https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pkp-di-kuala-lumpur-mulai-7-mei-hingga-20-mei-296592 https://www.utusan.com.my/berita/2021/05/pkp-seluruh-negara/

[5] https://www.worldometers.info/coronavirus/country/brunei-darussalam

[6]https://www.health.govt.nz/news-media/media-releases/no-new-community-cases-3-new-cases-covid-19-managed-isolation-3-historical-cases

[7] http://www.icoproject.org/icop.html

[8] https://www.muis.gov.sg/Media/Media-Releases/12-Apr-21-Ramadan-Announcement_ENG

[9] https://www.anic.org.au/fatwa-council/

[10] https://www.universetoday.com/20257/new-moon/

[11] https://earthsky.org/astronomy-essentials/why-isnt-there-an-eclipse-every-full-moon

[12] http://www.astronomy.ohio-state.edu/~thompson/161/phases.html

[13] https://www.al-qaradawi.net/node/5060

[14] https://al-maktaba.org/book/11498

[15] http://www.icoproject.org/record.html

Scroll to Top