Tiga Ahli Falak Pertama Menerima Tauliah Juruukur Kiblat Persendirian Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang

27 Oktober 2021/20 Rabiulawal 1443

Pulau Pinang: Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang buat julung kalinya memberikan tauliah kepada tiga orang ahli falak dalam menjalankan kerja-kerja pengukuran dan pengesahan arah kiblat premis/kediaman persendirian di negeri Pulau Pinang. S.S Dato’ Seri Dr. Wan Salim bin Wan Mohd Noor, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang ketika berucap dalam Majlis Pentauliahan Juruukur Kiblat Persendirian menjelaskan dengan adanya tauliah ini memberi peluang kepada orang ramai menyemak dan mengesahkan kiblat rumah/premis masing-masing.

Ustaz Ahmad Yusuf Farid Abdullah menerima tauliah dari SS Mufi Pulau Pinang S.S Dato’ Seri Dr. Wan Salim bin Wan Mohd Noor, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diiringi Penolong Mufti Kanan (Falak), Ustaz Muhammad Haniff Baderun
Sumber Gambar: Facebook Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang

Ini kerana disebabkan permintaan yang ramai Jabatan Mufti memfokuskan kepada urusan perkhidmatan percuma pengukuran dan pengesahan kiblat bagi premis yang mempunyai kepentingan awam. Justeru, dengan adanya khidmat juruukur kiblat melalui Persatuan Jurufalak Syarie (JUFAS) dapat membantu menyelesaikan permintaan orang ramai untuk mengukur/menyemak kiblat di premis persendirian masing-masing. Mengikut SS Mufti Pulau Pinang lagi tawaran perkhidmatan ini akan memberikan keyakinan kepada orang ramai mengenai pengesahan arah kiblat yang tepat di premis/kediaman masing-masing.

Lulusan Sarjana Muda Sains Fizik Universiti Sains Malaysia Saudara Izzat Zubir pemegang tauliah juruukur Kiblat Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang
Sumber Foto: facebook Izzat Zubir

Setelah menjalani proses temuduga, Ustaz Ahmad Yusuf Farid Abdullah , Ustaz Anuar bin Ariffin, Saudara Izzat Zubir telah berjaya untuk menerima tauliah bagi kerja-kerja tersebut dan tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard ( SOP) yang dibangunkan khas oleh Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang. Dalam pada itu, SOP ini penting bagi menjamin kesahan dan kebolehcayaan proses pengukuran/semakan arah kiblat bagi mengelak isu-isu berbangkit kemudian hari.

Ahli Falak Negeri Pulau Pinang Ustaz Anuar bin Ariffin antara tiga orang pertama yang ditauliah Juruukur Kiblat Negeri Pulau Pinang
Sumber Foto: Facebook Anuar Ariffin

Justeru, orang ramai di negeri Pulau Pinag boleh memohon khidmat mereka dengan mengisi borang secara atas talian di https://forms.gle/Yq4VWkf57kiVkW417 yang dipautkan di laman web jurufalak.com. JUFAS mengucapkan terima kasih kepada pihak Jabatan Mufti Pulau Pinang kerana bekerjasama dalam memberikan khidmat yang penting ini kepada masyarakat Pulau Pinang.

En Sharil Azwan Hussin mewakili JUFAS memberikan taklimat mengenai Prosedur Juruukur Kiblat JUFAS
Sumber Foto : Facebook Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang

Scroll to Top