Kepentingan Semak-Silang Aplikasi Takwim Waktu Solat bagi Memastikan Ibadah dilaksanakan Pada Waktu Yang Tepat

Oleh: Raihana Abdul Wahab

Dalam menjalani Ibadah Ramadhan bagi tahun 1443H tahun ini, semak-silang ketepatan waktu solat Subuh dan Maghrib adalah sangat penting. Ia supaya kita tidak menunaikan ibadah solat dan puasa di bulan Ramadhan pada tempoh masa yang dilarang yang menjadi tuntutan terhadap kesempurnaan ibadah yang dilaksanakan. Setiap waktu solat zuhur, asar, maghrib, Isyak dan subuh ini mempunyai tempoh waktu yang tertentu berdasarkan ayat 103 Surah al Nisa’ terjemahan yang bermaksud “Sesungguhnya sembahyang itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya atas orang-orang beriman”. Begitu juga sebagaimana Firman Allah SWT dalam ayat 187 Surah al Baqarah yang bermaksud “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)”.

Isu Tersalah Siar Azan Ramadan 1443H/2022M
Sumber: https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2068824

Menerusi Ilmu Falak, penentuan waktu solat berdasarkan cerapan terhadap nilai kedudukan pergerakan harian matahari yang diperolehi digunakan untuk hitungan bagi dapat menyediakan takwim waktu solat mengikut lokasi untuk memudahkan umat Islam membuat rujukan bagi ketepatan waktu ibadah. Maka, ahli falak memainkan peranan dan sumbangan yang sangat penting bagi tugas ini.

Perbezaan Waktu Solat mengikut paparan google dan portal JAKIM

Semak Waktu Solat yang Dipaparkan di Aplikasi Dengan Pihak berkuasa Agama Negeri

Walaubagaimanapun, dengan perkembangan teknologi maklumat dan kemajuan program pengatucaraan, takwim waktu solat boleh didapati menerusi lamam sesawang dan perisian menggunakan paparan jam digital. Tambahan pula kini, terdapat pelbagai aplikasi jadual waktu solat yang boleh dimuat turun di telefon pintar bagi tujuan rujukan untuk kemudahan ibadah pengguna muslim pada hari ini. Namun, disebalik kemudahan melalui kemajuan teknologi ini, sebagai pengguna kita harus menyemak ketepatan dan kejituaannya. Ini adalah kerana tidak semua maklumat yang dipaparkan adalah bertepatan dengan kaedah fiqh tempatan dan paparan data hitungan waktu solat adalah tidak selari dengan yang diterbitkan oleh pihak berkuasa agama Negeri mahupun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Permasalahan ini wujud kerana terdapat beberapa ketetapan dalam hitungan waktu solat secara umum perlu diketahui oleh pengguna bagi memastikan ketepatan dan kejituan waktu solat bagi aplikasi, perisian mahupun laman sesawang yang menjadi pilihan masing-masing. Salah satunya adalah bagi sesetengah aplikasi tersebut mempunyai ketetapan yang perlu diambil kira seperti perbezaan mazhab dalam penetapan awal waktu solat sebagaimana terdapat perbezaan permulaan waktu solat asar menurut mazhab Syafii dengan mazhab Hanafi.  Sekiranya pengguna tidak mengubah ketetapan ini, pada aplikasi atau perisian tersebut, maka waktu solat yang dipaparkan menerusi aplikasi atau perisian tersebut adalah tidak tepat. Selain itu, terdapat perbezaan parameter bagi kedudukan matahari dibawah ufuk yang digunakan bagi hitungan waktu solat subuh yang digunakan bagi sesebuah negara. Di Malaysia, bermula dari tahun 2020 nilai parameter kedudukan matahari dibawah ufuk yang digunakan adalah -18 darjah berbanding sebelum ini -20 darjah. Namun, masih terdapat aplikasi dan perisian yang tidak mengemaskini dan mengubah ketetapan mengikut parameter yang digunakan. Disamping itu juga, terdapat aplikasi perisian yang tidak mengemaskini data-data kedudukan matahari yang diperlukan pada tahun semasa menyebabkan kesilapan bagi hitungan waktu solat.

Sumber: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan

Semak Jam melalui Laman Sesawang SIRIM

Oleh yang demikian, beberapa langkah sebagai pengguna boleh dijadikan panduan dalam menyemak ketetapan takwim waktu solat dalam perisian mahupun aplikasi yang digunakan. Pertama, ketepatan jam perlu diselaraskan mengikut Waktu Piawai Malaysia yang boleh dicapai melalui laman sesawang SIRIM di pautan https://mst.sirim.my/. Kedua, pengguna seharusnya membuat semakan terhadap ketetapan parameter lokasi dan zon waktu pada aplikasi atau perisian yang digunakan mengikut daerah yang betul. Seterusnya, semak-silang juga harus dilakukan daripada sumber yang sahih iaitu daripada laman sesawang E-Solat atau aplikasi MySolat yang dikeluarkan oleh JAKIM serta takwim waktu solat yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri masing-masing. Ini adalah disebabkan data-data hitungan tersebut telah diperakukan oleh Jawatankuasa yang mempunyai kepakaran dalam Ilmu Falak di negara kita.

Pengguna seharusnya bijak dalam memilih aplikasi atau perisian untuk dijadikan rujukan supaya medium ini berkesan dalam membantu kesempurnaan ibadah. Ketetapan dan kejituan sebuah aplikasi dan perisian yang haruslah dijadikan sebab utama pilihan pengguna berbanding dengan dengan maklumat interaktif lain. Kejadian kesilapan azan bagi waktu berbuka puasa yang tular pada Ramadhan 1442H yang lalu ini harus diambil iktibar untuk pada masa akan datang. Oleh itu, seharusnya kita jadikan Ramadhan 1443H titik tolak untuk kita sentiasa semak-silang untuk memastikan waktu solat yang tepat dan jitu setiap masa.

Dr Raihana Abdul Wahab merupakan Pensyarah Kanan Program Astronomi Islam, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

Scroll to Top