Sebelum Covid-19, Kovensyen/Karnival Falak sinomim dengan ceramah, cerapan malam, pertandingan astrofotografi, pameran, karnival falak, pelancaran roket, melukis, mewarna, baca puisi dll. Semua itu tentang Falak. Jabatan-Jabatan Mufti di Malaysia akan merancang, menyusun bagi menyambut “hari penting” secara besar-besaran. Kini, sejarah Malaysia pada Muharam 1443 H diselubungi pandemik disulam pula krisis kesihatan, ekonomi dan politik. Namun, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Mufti di seluruh Malaysia, ILIM dengan kerjasama Apadilangit dilihat kreatif bergabung tenaga muda dan lama mengisi Bulan Falak Malaysia sepanjang bulan Muharam 1443H secara dalam talian. Antara berpuluh program direncanakan diseluruh negara, tiga program antara yang unik;
Pertama: Mini-Olimpiad– Sebut perkataan Olimpiad, sudah tentu akan merujuk kepada Olimpiad Matematik, Olimpiad Sains pelajar-pelajar sekolah di seluruh dunia. Olimpiad Matematik bermula pada tahun 1959, di Romania dengan 7 buah negara sahaja. Kini lebih 100 buah negara menghantar pelajar untuk menyertai olimpiad matematik tersohor itu. Tujuan olimpiad ini antara lain menggalakkan pelajar menguasai ilmu matematik, serta mengasah kemahiran analitik para peserta. Kali ini Bulan Falak Malaysia membawakan Mini-Olimpiad Falak. Penyertaan pelajar perlu melalui jabatan Mufti negeri masing-masing. Banyak negeri yang telah mempunyai kelab-kelab falak. Sudah tentu, Mini-Olimpiad Falak memacu semangat bersaing kelab-kelab falak di bawah bimbingan Jabatan Mufti seluruh Malaysia. Sayugianya Mini ke Olimpiad Falak perlu di teruskan pada masa mendatang. Ia kelak akan mencetuskan momentum kearah subjek matapelajaran falak menjadi sebahagian dari subjek di sekolah-sekolah Menengah Agama seperti subjek faraid, sirah, tafsir, dll.
Kedua: Kalendar Hijrah Baharu-Malaysia mula mengadaptasi kriteria imkanurukyah baharu bermula 1 Muharam 1443H. Sebelum itu, Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura lebih 20 tahun (1995-2020) telah mengaplikasikan satu set kriteria yang lama dalam menyusun kalendar Hijrah. Oleh sebab itu, tarikh 1 Muharam, 1 Safar, 1 Jamadilawal dan seterusnya di keempat-empat negara jatuh pada hari yang sama. Kecuali pada 1 Ramadan, 1 Syawal dan 1 Zulhijah ada tikanya ada sedikit perbezaan. Setelah menjalani proses yang panjang, perbincangan demi perbincangan, pertemuan, mesyuarat, muzakarah, persidangan di kempat-empat buah negara, Satu kata putus untuk mengadaptasi satu set krteria baharu dicapai. Namun, apa istimewanya kriteria baharu? Kita akui bahawa kriteria lama sudah baik dalam menyusun tarikh Hijrah.
Kriteria baharu sama seperti dulu berasaskan kepada konsep kemungkinan anak bulan boleh kelihatan (bahasa arab; imkan al-ru’yah. Bahasa Enggeris; posibility of sighting). Namun, pemilihan set kriteria baharu ini didasarkan kepada data-data kenampakan anak bulan yang saintifik. Sesuai dengan produk sains bersifat penemuan yang dinamik, satu kriteria yang dipilih perlu dinilai dari masa ke semasa pada masa akan datang. “Satu kriteria itu ada titik lemah dan ada titik unggulnya” begitulah lebih kurang unggkapan Prof Thomas dalam Webinar Falak Nusantara pada penutup Bulan Falak Malaysia. Nampaknya, kali ini banyak program-program Bulan Falak Malaysia kali ini banyak diupayakan untuk mengsosialisasikan kriteria baharu ini. Syabas!
KETIGA: KHUTBAH “FALAK”-Sebelum ini, dalam setahun mimbar jumaat banyak mengetengahkan pelbagai isu semasa. Ada ketikanya khutbah dikarang khusus untuk Hari Pahlawan, Hari Merdeka, Hari Guru, Hari Polis dll. Namun begitu, khutbah yang berkaitan dengan ilmu falak, jarang sekali dibacakan atau dikhutbahkan. Selalunya, sekiranya fenomena langka melibatkan jasad samawi, khutbah khusus dikarang oleh Jabatan Agama Islam. Tika Gerhana Matahari, Gerhana Bulan itulah peluang untuk menceritakan mengenai ilmu falak. Kali ini, Bulan Falak Malaysia khutbah minggu pertama Muharam 1443H dikarang oleh pihak JAKIM khusus untuk menerangkan peri penting ilmu falak. banyak perkara yang disentuh oleh Khatib dari aspek mengEsakan pencipta, sejarah falak, kegunaan ilmu falak kepada masyarakat secara luas. Setidak-tidanya, ia merangsangkan lagi daya ingin tahu masyarakat kepada ilmu tertua ini. Ada yang menyangka ilmu falak hanya digunakan untuk tengok anak bulan sahaja. Namun ramai yang tidak sedar, setiap perkara dalam kehidupan yang melibatkan detik, saat, jam, hari, minggu, bulan, tahun, abad, kurun dll. Semua itu ada kaitan dengan falak.