Empat Hukum Baharu Falak Tahun 2021

 

Tahun lepas, masih segar dalam ingatan satu perkara baharu dalam isu fekah yang melibatkan ilmu falak iaitu perubahan waktu subuh kurang lebih 8 minit di Malaysia. Ini ekoran dari penerimaan hasil kajian yang diketuai oleh Universiti Malaya yang telah dibentangkan dalam Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) pada akhir tahun 2019. Jawatankuasa ini dianggotai oleh mufti-mufti di Malaysia dan ahli-ahli lain. Jumlah ahli seramai 28 orang semuanya dilantik oleh Majlis Raja-Raja. Jawatankuasa yang terbentuk merupakan peringkat tertinggi dalam membuat keputusan hukum syarak di bumi Malaysia. Seperti mana dimaklumi, kuasa agama Islam di Malaysia di bawah kuasa negeri-negeri. Oleh demikian padangan Jawatankuasa tersebut tidak mengikat dari aspek undang-undang. Pandangan hukum yang diputuskan akan diperhalusi di peringkat Jawatankuasa Fatwa Negeri, atau nama lain diperingkat negeri. Pandangan hukum ada tikanya diwartakan sebagai makluman atau sebagai penguatkuasaan undang-undang negeri. Dalam isu subuh tempoh hari, makluman rasmi dari jabatan-jabatan Mufti secara berperingkat menyaksikan satu  demi satu negeri setelah mendapat perkenan tuanku Sultan waktu subuh berubah hingga ke hari ini.

Buku terbitan terbaru JAKIM (2021) Kompilasi Pandangan Hukum Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI)

Setiap detik, jam, hari, minggu, bulan yang terdapat pada  kalendar tahun 2021 masih lagi diselubungi oleh Covid-19. Disebalik pelbagai cerita Covid-19, tahun ini  empat  isu hukum yang melibatkan bidang falak telah dibincangkan dalam MKI. Untuk mengetengahkan sebarang isu di MKI banyak perkara perlu dibereskan terlebih dahulu. JAKIM bersenergi bersama Jabatan-Jabatan Mufti Negeri, Panel Pakar Falak, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), ahli akademik Universiti Awam, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGOs), dan ahli falak/astronomi, serta ahli fekah. Mereka melakukan kajian, bermuzakarah, bermunaqasah, berbincang, mengkritik idea-idea tidak lain tidak bukan tujuannya untuk memperhalusi isu-isu baharu falak dan mencadangkan solusi untuk kemaslahatan masyarakat ramai. Kemuncak dari aktiviti tersebut akan dibentangkan dalam MKI. Empat isu berkaitan hukum falak telah dibincang dalam MKI tahun ini dan dituangkan keputusannya dalam buku Kompilasi Pandangan Hukum MKI edisi kemaskini 2021 terbitan JAKIM.

Hasil Kajian fajar yang diketuai oleh penyelidik dari Universiti Malaya telah diperhalusi dalam MKI seterusnya membawa kepada perubahan waktu subuh di negeri-negeri di Malaysia

PERTAMA: KRITERIA BAHARU UNTUK TAKWIM HIJRAH

Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura lebih 20 tahun (1995-2020) telah mengaplikasikan satu set kriteria Imkanurukyah yang lama dalam menyusun kalendar Hijrah. Sejak sekian waktu, JAKIM mencari jalan untuk menambahbaik kriteria tersebut sesuai dengan penemuan sains yang dinamik. Perbincangan diperingkat kebangsaan, serantau berpuluh tahun lamanya telah dirintis oleh JAKIM dan pihak-pihak berkepentingan untuk menerobos jalan panjang dan berliku untuk mencapai satu keputusan “bulat” pelaksanaan kriteria baharu peringkat serantau. Kemuncak kepada usaha yang panjang itu, satu set kriteria baharu dibincangkan dalam MKI tahun ini seterusnya membawa perubahan nilai kriteria imkanurukyah baharu pada Muharram 1443H/Ogos 2021M di Malaysia. Kriteria tersebut berperanan untuk menyusun tarikh dalam kalendar Hijrah Malaysia serta untuk rujukan penentuan tarikh awal Ramadan, Syawal dan Zulhijjah. Sedikit info tentang kriteria Imkanurukyah baharu;

“ketika matahari terbenam ketinggian bulan tidak kurang 3 darjah dan jarak lengkung Bulan dan Matahari (elongasi) tidak kurang dari 6.4 darjah”.

Sumber: Wikimapia.org Titik Paling Barat di Malaysia

KEDUA: JARAK DUA MARHALAH 81 KILOMETER (KM) ATAU 90 KM?

Teknologi saban hari semakin berkembang, banyak aplikasi muncul dan direka cipta seperti aplikasi waktu solat, aplikasi kiblat, aplikasi Al-Quran, dan lain-lain (dll) timbul hari demi hari. Antara isu yang bertunas sekian lama adalah mengenai aplikasi yang dibina untuk mengukur jarak dua marhalah. Isu dua marhalah ini penting dalam solat jamak qasar, isu nikah kahwin dll. Contohnya, darimanakah untuk mengira titik mula dalam aplikasi untuk membolehkan seorang itu mula solat jama’ dan qasar?. Seterusnya, satu kajian telah dilakukan oleh kumpulan penyelidik UM dan JAKIM merungkai isu ini. Ia  telah dibentangkan dan dibahaskan dalam MKI tahun ini. Hasil Muzakarah mencatatkan kadar 2 marhalah adalah lebih kurang 81 km. Oleh kerana sempadan kampung atau Qaryah seterusnya Balad hari ini sukar ditentukan seperti yang disebut dalam kitab fiqh klasik. Maka harus  hukumnya menggunakan nilai 11 km (termasuk 81 km) dari titik mula musafir bagi sempadan Qaryah dan Balad

KETIGA: PENGIMEJAN ASTRONOMI DALAM CERAPAN ANAK BULAN 

Kini, pelbagai alat dan teknik dalam cerapan anak bulan, ada namanya kamera DSLR, CCD, Teleskop, Teodolite, Binokular dll. Pelbagai alat-alat dan teknik muncul dengan beragam nama timbul pada hari ini dalam membantu mengintip anak bulan yang halus cuma itu. Ada tikanya dengan menggunakan teleskop anak bulan tidak kelihatan namun dengan menggunakan teknik tertentu anak bulan boleh kelihatan. Jadi apakah respons syariah terhadap isu ini? Kajian, perbincangan, muzakarah, munaqasah dari pelbagai demensi telah dilakukan. Kemuncaknya ia berjaya dirumuskan dan telah dibentangkan muzakarah MKI tahun ini. Secara umumnya, pengunaan teknik pengimejan dalam cerapan anak bulan itu hukumnya harus namun perlu ada garis panduan agar tidak menampakkan perkara yang sepatutnya pada keadaan tertentu memang tidak boleh kelihatan (anak bulan).  

Sumber: Islamic Crescents Observation Project (ICOP)Rekod Dunia Kenampakan Anak Bulan Termuda
oleh Encik Muzamir Mazlan

KEEMPAT:  TITIK PALING BARAT DI MALAYSIA (PULAU PERAK)

Dalam mengira Takwim Hijrah perlu ada titik koordinat (latitud, longitud) yang dirujuk supaya pengiraan yang tepat boleh dilakukan dan titik tersebut perlu mewakili Malaysia Timur dan Malaysia Barat. Sebelum ini Tanjung Chincin, Langkawi menjadi titik paling barat. Namun, setelah kajian yang dilakukan bersama pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan JAKIM, mereka mendapati Pulau Perak, Yan, Kedah yang terletak 114KM dari titik sebelum ini lebih sesuai untuk dijadikan titik rujukan paling barat di Malaysia. Bermula 1444H Kalendar Hijrah akan dikira dengan menggunakan titik rujukan yang baharu di samping penggunaan kriteria baharu pada tahun ini. Isu ini juga telah dibahas di MKI tahun ini dan boleh dibelek keputusannya disebalik ketebalan buku kompilasi yang berwarna hijau zamrud itu.

SYABAS KELUARGA BESAR FALAK MALAYSIA