1 Ramadan: Sabtu atau Ahad?

Menjelang Ramadan 1446/2025, perhatian tertumpu pada tarikh melihat anak bulan pada Jumaat, 28 Februari 2025 bersamaan 29 Syaaban 1446.

Beberapa tahun lalu, Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia, dan Republik Singapura (MABIMS) telah menetapkan kriteria imkanurukyah 2021 (KIR2021) bagi penentuan kalendar Hijriah,

di mana 1 haribulan Hijriah ditetapkan jika pada 29 haribulan, anak bulan mencapai ketinggian/altitud minimum 3° dan jarak lengkung 6.4°. Jika tidak, bulan digenapkan menjadi 30 hari.

Muzakarah Rukyah dan Takwim Islam Negara Anggota MABIMS Tahun 2016 (Sumber: JAKIM)

KIR2021 turut dijadikan panduan dalam menentukan permulaan puasa dan Hari Raya di keempat-empat negara tersebut, namun dengan prosedur pelaksanaan yang berbeza.

Indonesia  mengamalkan rukyah dan hisab. Penentuan awal Ramadan di Indonesia kali ini agak mencabar. Kedudukan anak bulan dihitung dari titik paling barat, iaitu Sabang, hingga titik paling timur, iaitu Merauke.

Hisab menunjukkan bahawa anak bulan telah memenuhi KIR2021 di bahagian barat Indonesia, namun kebanyakan kawasan di Indonesia, ia diperkirakan tidak memenuhi kriteria tersebut.

Menurut Kalender Hijrah Indonesia 2025, tarikh 1 Ramadan 1446 jatuh pada Sabtu, 1 Mac 2025. Pada hari Jumaat, 28 Februari 2025 bersamaan 29 Syaaban 1446 anak bulan akan dicerap di 125 lokasi rukyah di seluruh Indonesia.

Sumber: https://www.topsumbar.co.id

Walaupun hisab menunjukkan anak bulan telah memenuhi KIR2021, namun menurut Profesor Thomas Djamaluddin,

Profesor Astronomi dan Astrofizik di Pusat Kajian dan Agensi Inovasi Indonesia (BRIN), peluang anak bulan untuk kelihatan terlalu tipis.

Menariknya, jika seluruh Indonesia melaporkan bahawa anak bulan tidak kelihatan, adakah negara itu akan memulai puasa pada Ahad, 2 Mac 2025, bukannya Sabtu, 1 Mac 2025?

Keputusan muktamad hanya akan diketahui dalam Sidang Isbat, yang lazimnya dipimpin oleh Menteri Agama Republik Indonesia, berdasarkan laporan kenampakan anak bulan.

Brunei Darussalam, yang teguh berpegang kepada kaedah rukyah dalam menentukan awal puasa, dijadualkan menjalankan rukyah anak bulan di lima lokasi pada Jumaat, 28 Februari 2025.

Berdasarkan pengiraan, kedudukan anak bulan di seluruh Brunei tidak memenuhi kriteria KIR2021.

Adakah anak bulan akan dilaporkan kelihatan di Brunei pada hari tersebut?

Jika ya, Brunei akan memulakan puasa pada Sabtu, 1 Mac 2025. Jika tidak, puasa akan bermula pada Ahad, 2 Mac 2025.

Sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi oleh pihak pemerintah Brunei Darussalam.

Imej Anak Bulan Balai Cerap, Negeri Sembilan (Sumber:  https://astronomycenter.net)

Di Singapura, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) telah mengeluarkan Jadual Imsakiah bagi Ramadan 1446, yang mencatatkan Ahad, 2 Mac 2025 bersamaan 1 Ramadan 1446.

Jika mengikut tahun sebelumnya, Mufti Singapura akan mengumumkan sama ada kedudukan anak bulan memenuhi kriteria KIR2021 atau sebaliknya bagi menjustifikasi  tarikh awal puasa.

Berdasarkan pengiraan tahun ini di Singapura, kedudukan anak bulan tidak memenuhi kriteria KIR2021. Tambahan pula, pencemaran cahaya menyukarkan pencarian lokasi rukyah anak bulan di Singapura.

Adakah Singapura pasti akan memulakan puasa pada Ahad, 2 Mac 2025?

Bersama kita nantikan pengumuman rasmi oleh Mufti Singapura pada 28 Februari 2025.

Bagi penentuan awal puasa, Malaysia mengamalkan rukyah (cerapan) dan hisab (perhitungan).  29 lokasi rasmi rukyah anak bulan telah dipilih kerana ufuk baratnya tidak terhalang.

Sumber: Laman Facebook Rasmi Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia-(JUPEM)

Berdasarkan perhitungan, kedudukan anak bulan di Malaysia pada tarikh rukyah Jumaat, 28 Februari 2025 berada di bawah KIR 2021.

Data Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) menunjukkan di Pulau Perak, titik paling barat Malaysia, ketinggian anak bulan ialah 4º15’ dengan jarak lengkung 5º17’, sedikit kurang daripada KIR 2021.

Oleh itu, mengikut Kalendar Islam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), awal puasa dijangka bermula pada Ahad, 2 Mac 2025 dan tertakluk kepada pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Ini menunjukkan 1 Ramadan 1446 berkemungkinan jatuh pada Sabtu, 1 Mac 2025, atau Ahad, 2 Mac 2025.

Malaysia pernah melaporkan kenampakan anak bulan di bawah KIR 2021. Pada penentuan satu Syawal 1443/2022, hisab menunjukkan ketinggian anak bulan 5º27’ dan jarak lengkung 5º57’ di titik paling barat Malaysia.

Peluang kenampakan anak bulan tipis. Namun begitu, anak bulan telah dilaporkan kelihatan dan diterima oleh pihak berautoriti. Kenampakan anak bulan tersebut membawa kepada peristiwa yang dikenali sebagai “Raya Mengejut”.

Sumber: Laman Facebook Rasmi Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia-(JUPEM)

Kali ini, kedudukan anak bulan lebih rendah berbanding penentuan Syawal 1443/2022, sekaligus menjadikan peluang kenampakan anak bulan lebih sukar dan tipis.

Adakah anak bulan akan kelihatan bagi penentuan awal Ramadan kali ini?

Hasil cerapan anak bulan pada hari Jumaat, 28 Februari 2025  akan menentukan Ramadan jatuh pada Sabtu, 1 Mac 2025 atau Ahad, 2 Mac 2025.

Sumber: Astro AWANI

Justeru, keputusan rasmi hanya dapat diketahui selepas proses cerapan anak bulan selesai. Hormat dan patuhlah kepada pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Rujuklah badan-badan beroutoriti seperti JAKIM dan Jabatan Mufti Negeri demi kemaslahatan ummah.

Persatuan Jurufalak Syarie (JUFAS) mengucapkan selamat menunaikan fardu kifayah kepada Ahli Jawatankuasa Rukyah Negeri seluruh Malaysia yang di ketuai oleh SS Mufti-Mufti dan semua yang terlibat dalam aktiviti mencerap anak bulan Ramadan 1446. Ramadan Al-Mubarak.