JUFAS Meriahkan Bulan Falak Kebangsaan 1447H

PUTRAJAYA, Julai 2025 – Bulan Falak Kebangsaan 1447H melabuhkan tirainya dengan penuh warna-warni, menandakan penutup kepada pelbagai program ilmu dan kesedaran berkaitan ilmu falak di seluruh negara. Persatuan Jurufalak Syarie (JUFAS) tidak ketinggalan untuk turut serta dalam memeriahkan sambutan tahun ini dengan pelbagai inisiatif dan kolaborasi strategik bersama pelbagai pihak.

Antara program utama yang dijayakan oleh JUFAS sepanjang bulan falak tahun ini ialah:

SEGMEN JUFAS Kongsi

Siri video pendek yang memaparkan perkongsian ilmu falak melalui media sosial secara santai dan mudah difahami. Sebanyak 10 video telah diterbitkan sepanjang bulan falak dan mendapat sambutan baik.

Bengkel Arah Kiblat Menggunakan Python

Program inovatif ini dianjurkan oleh Jabatan Pengajian Islam Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussain Onn Malaysia  dengan kerjasama Persatuan Jurufalak Syarie (JUFAS), bertujuan untuk memperkenalkan penggunaan teknologi dalam penentuan arah kiblat secara lebih tepat dan saintifik. Bengkel ini membuka ruang kepada penglibatan golongan muda serta pengamal teknologi dalam bidang falak kontemporari.

Sambutan Bulan Falak Wilayah Persekutuan 2025

Dengan tema “Menjulang Falak, Menyubur Ketamadunan MADANI – Arah Kiblat Yang Satu”, program ini dianjurkan oleh Unit Falak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) dengan kerjasama JUFAS dan Surau Al-Husna, Presint 9, Putrajaya. Antara inisiatif utama program ini adalah penandaan arah kiblat secara percuma melibatkan 51 buah rumah dalam kalangan golongan B40 dan asnaf di sekitar Putrajaya. Ia merupakan satu program dakwah   dalam menyampaikan ilmu falak secara praktikal kepada masyarakat.

JUFAS komited untuk terus menyantuni masyarakat dengan ilmu falak yang sahih, relevan dan bermanfaat melalui pendekatan  inklusif. Semoga usaha ini dapat terus menyemarakkan minat masyarakat terhadap falak syarie serta menyumbang ke arah pembinaan tamadun ilmu.