Di Kala Senja Terbuka, Terbit Bintang Muda: Memoir Ketokohan Ustaz Khairul Anuar Yazid

“Apa pandangan kamu, Syeikh?”
Soalan itu masih terngiang-ngiang di telinga saya, dilontarkan dengan nada tenang oleh arwah Ustaz Khairul Anuar Yazid. Ketika itu saya masih mentah — bicara penuh bara, jiwa memberontak, dan semangat muda yang mudah menyala.

“Kalau kita buat macam ini, apa jadi agaknya?”
Begitulah soalan lanjutannya, mengajak saya berfikir tentang masa depan falak di Malaysia. Saya menjawab penuh gaya, tangan terangkat-angkat, suara meninggi, kepala mendongak seolah-olah mahu menembusi langit. Namun Ustaz tidak sedikit pun terganggu. Beliau mendengar dengan sabar, memandang dengan mata yang terbuka dan hati yang lebih luas daripada langit yang kami cerap bersama di Menara Kuala Lumpur, dalam satu cerapan rasmi awal Ramadan , pertemuan pertama kami.

Kenangan Bersama Almarhum Ustaz Khairul Anuar Yazid

Sepatutnya saya yang berterima kasih. Kerana beliau yang membuka ruang untuk saya membuat kajian di Menara KL, dalam satu majlis yang penuh protokol dan nama besar. Tapi seperti biasa, jiwa muda saya terasa tidak cukup, tidak puas, kerana begitulah sifat jiwa muda: mencari, gelisah, dan kadang-kadang lupa berterima kasih.

Bermula dari Menara Kuala Lumpur: Kisah Pertemuan Pertama

Pertemuan kedua kami berlaku dalam suasana yang lebih ilmiah , ketika saya diberi peluang oleh Ustaz Khairul untuk menjadi pembantu penyelidik bagi projek penting: laporan pembangunan perisian Malaysia Rukyah Hilal Kebangsaan (MyRHK). Bayangkan , walaupun pertemuan pertama kami tidak indah, dan saya tampil dengan sikap yang kurang matang, beliau tetap memberi ruang dan peluang kepada saya. Di situlah saya mula menyedari, besar jiwa orang ini.
Tidak lama kemudian, saya juga pernah terlibat dalam kajian Almanak Falak dan penyediaan kerangka syariah untuk isu sensitif seperti pengiraan anak tidak sah taraf , satu bidang yang memerlukan bukan hanya ketelitian falakiah, tetapi juga kelunakan fiqh dan kefahaman maqasid yang membumi. Saat itu, tesis akhir saya baru sahaja dihantar untuk diuji, gelaran Doktor Falsafah belum dimiliki. Namun Ustaz Khairul tetap percaya dan memberi tempat kepada suara anak muda seperti saya, walau belum bertaring, belum berpangkat, dan belum bernama.

Peluang Berharga dan Hikmah di Balik Projek MyRHK

Itulah keperibadian Almarhum Ustaz Khairul Anuar Yazid!
Seorang ilmuwan yang mendidik dengan hikmah, memimpin dengan tenang, dan menyantuni dengan kasih. Beliau tidak menilai siapa yang berbicara, tetapi apa yang disampaikan. Tidak menatap masa silam seseorang, tetapi membuka ruang untuk tumbuh dan menyumbang pada masa depan.

Daripada peluang yang beliau hulurkan, lahirlah kajian cerapan langit senja Isyak di Menara Kuala Lumpur , yang kemudiannya menghasilkan model empirik pertama di dunia berkenaan kecerahan langit senja yang dipengaruhi pencemaran cahaya. Kajian ini kini menjadi rujukan dalam penentuan waktu Subuh dan Isyak di peringkat antarabangsa, termasuk di Indonesia dan Malaysia.

Kajian Empirik Cerapan Langit Senja: Sumbangan Abadi Ustaz Khairul

Peluang yang beliau buka melalui projek MyRHK (Malaysia Rukyah Hilal Kebangsaan) pula, kini berkembang menjadi satu-satunya pangkalan data rasmi cerapan anak bulan di peringkat MABIMS. Ia menjadi rujukan penting bagi negara-negara Asia Tenggara dalam menyelaraskan takwim Hijri.

Keterbukaan dalam Penyelidikan: Menyentuh Isu Sensitif

Begitu juga dengan keterbukaan beliau dalam memberi laluan kepada penyelidikan Almanak Falak dan kerangka syariah pengiraan anak tidak sah taraf , satu isu yang kompleks dan sensitif , telah membolehkan hasil kajian tersebut dibentangkan di peringkat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI). Jika diguna pakai, ia berpotensi besar menjadi dokumen sokongan penting buat Jabatan Pendaftaran Negara, Mahkamah Syariah, dan ibu bapa yang memerlukan kepastian dan keadilan.

Keterbukaan beliau , walaupun kelihatan kecil di permukaan, hakikatnya mengasah bakat yang masih tumpul, menjadi tajam dan bernilai. Kesannya tertulis, bukan sahaja dalam helaian kertas kajian, tetapi terpancar dalam manfaat yang sampai kepada masyarakat, agama dan negara.

Warisan Ilmu dan Ketokohan Almarhum yang Kekal

Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat dunia falak tanah air , bukan sekadar kerana ilmunya yang tinggi, tetapi kerana jiwanya yang mulia. Ketokohan beliau tidak hanya tertulis dalam laporan dan modul, tetapi terpahat dalam sanubari anak-anak murid yang pernah disentuh oleh kelembutan budi dan keluhuran visi beliau.

Penghormatan Terakhir: Doa untuk Almarhum Ustaz Khairul Anuar Yazid

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh almarhum Ustaz Khairul Anuar Yazid, dan menempatkannya dalam kalangan para solihin, mujtahid, dan pewaris ilmu yang ikhlas. Ameen!

 

Penulis adalah Ts. Dr. Muhamad Syazwan Bin Faid, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Islam. Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)