CERAPAN ANAK BULAN SYAWAL 1446/2025

1. Tarikh cerapan bagi menentukan 1 Syawal 1446H adalah pada Ahad, 29 Ramadan 1446 bersamaan 30 Mac 2025. Panduan Nabi Muhammad S.A.W menjadi sandaran para ulama dan pemerintah dalam menetapkan kaedah hisab (pengiraan) dan rukyah (cerapan). Rasulullah S.A.W bersabda:

“Berpuasalah kamu apabila melihat anak bulan dan berbukalah (berhari raya) sekiranya melihat anak bulan. Sekiranya mendung, maka sempurnakanlah 30 hari Syaaban.” (Sahih Bukhari)

“Jangan kamu berpuasa sehingga kamu melihat anak bulan dan jangan kamu berbuka sehingga kamu melihat anak bulan. Sekiranya mendung, maka taqdirkanlah.” (Sahih Bukhari)”

Malaysia Mencerap Anak Bulan Ahad, Kebanyakan Negara Sabtu

2. Sekurang-kurangnya 31 negara telah mula berpuasa pada Sabtu, 1 Mac 2025. Negara-negara Eropah, Timur Tengah, dan Afrika berpuasa sehari lebih awal berbanding Malaysia. Di rantau ini, hanya Indonesia yang berpuasa awal sehari berbanding Malaysia, Singapura dan Brunei. Oleh itu, negara yang mula berpuasa pada Sabtu akan mencerap anak bulan sehari lebih awal, iaitu pada Sabtu, 29 Mac 2025.

3. Malaysia, bersama negara seperti Bangladesh, Brunei Darussalam, Ghana, India, Iran, Maghribi, Pakistan, dan Singapura, mula berpuasa sehari lewat. Justeru, Malaysia akan mencerap anak bulan pada Ahad, 30 Mac 2025 bersamaan 29 Ramadan 1446.

Peluang Kenampakan

4. Malaysia mengamalkan rukyah (cerapan) dan hisab (pengiraan) berpandukan kriteria Imkanur Rukyah. Kriteria ini menetapkan bahawa ketika matahari terbenam:

Ketinggian anak bulan dari ufuk mestilah tidak kurang dari 3 darjah

Jarak lengkung antara bulan dan matahari (elongasi) tidak kurang dari 6.4 darjah.

Semakin tinggi nilai ketinggian anak bulan,  dan jarak lengkung (sudut pemisah antara bulan dan matahari) semakin besar peluang untuk melihat anak bulan. Bagi Penentuan Syawal 1446, mengikut Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) ketinggian anak bulan dikira melebihi 3 darjah (11 ° 01’ darjah) dan jarak lengkung melebihi 6.4 darjah (13° 49’). Ia menunjukan peluang kenampakan anak bulan adalah tinggi.  Namun, sekiranya cuaca buruk seperti hujan, awan tebal, dan mendung boleh menghalang kenampakan anak bulan.

Anak Bulan yang Pernah Kelihatan Umur 24 jam di Telok Kemang, Negeri Sembilan

Ijtimak dan Umur Bulan

5. Peredaran bulan mengelilingi bumi dalam tempoh kira-kira 29.5 hari menyebabkan berlakunya fasa-fasa bulan. Antara fasa utama bulan termasuk anak bulan, bulan separa, bulan penuh (purnama), dan anak bulan tua. Dalam kitaran ini, terdapat satu fasa penting yang dikenali sebagai New Moon, Conjunction, Iqtiran, atau Ijtimak, yang merujuk kepada kedudukan bumi, bulan, dan matahari berada pada longitud yang sama. Pada saat ini, bulan tidak kelihatan dari permukaan bumi kerana keseluruhan bahagian yang disinari matahari membelakangi bumi.

6. Ijtimak memainkan peranan penting dalam menentukan umur anak bulan. Secara analogi, seperti umur manusia yang mula dikira dari saat kelahiran dan meningkat dari hari ke bulan hingga ke tahun, umur bulan juga dikira bermula dari ijtimak. Umur bulan meningkat dalam unit saat, minit, jam, dan hari sehingga mencapai tempoh tetap iaitu sekitar 29.5 hari. Setelah mencapai tempoh ini, ijtimak seterusnya akan berlaku bagi permulaan bulan baharu. Semakin meningkat umur bulan, semakin luas kawasan permukaannya yang bercahaya dan semakin tinggi kebarangkalian anak bulan kelihatan.

7. Di Malaysia, ijtimak bagi bulan baharu akan berlaku pada Sabtu, 29 Mac 2025, pada jam 6:58 petang. Umur bulan ketika waktu cerapan (iaitu pada petang Ahad waktu maghrib 30 Mac 2025, 7:35 petang) adalah 25 jam 28 minit. Semakin besar umur anak bulan, semakin tinggi kebarangkalian ia dapat dilihat.

Anak Bulan Termuda Pernah Kelihatan di Telok Kemang, Negeri Sembilan, Umur 12 Jam.

8. Rekod kenampakan anak bulan termuda di Malaysia ialah 12 jam, yang pernah dilihat di Balai Cerap Telok Kemang. Manakala dalam penentuan Hari Raya Aidilfitri tahun 2022/1443, umur anak bulan ketika itu ialah 15 jam. Sebagai perbandingan, dalam penentuan awal Ramadan dua tahun lalu, umur bulan adalah 18 jam, dan menurut laporan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), anak bulan telah dilihat di 10 daripada 29 lokasi cerapan. Kali ini umur bulan lebih 24 jam. Walau bagaimanapun, meskipun umur bulan besar, kenampakan anak bulan tetap bergantung kepada keadaan cuaca.

Anak Bulan Telah Kelihatan di 10 Tempat pada Penentuan Awal Ramadan 1444

Proses Cerapan Anak Bulan

9. Sebanyak 29 lokasi cerapan rasmi akan diketuai oleh Mufti Negeri, dibantu oleh Ahli Jawatankuasa Rukyah. Cerapan dilakukan menggunakan mata kasar atau alat bantuan seperti teleskop dan total station.

10. Selepas cerapan, laporan akan dihantar kepada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Hasil cerapan anak bulan, sama ada kelihatan atau tidak, tetap diambil kira dalam proses penentuan rasmi.

11. Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja selaku Ketua Agama Negeri-Negeri akan memperkenankan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membuat pengisytiharan melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Proses ini dilaksanakan selaras dengan tanggungjawab sebagai ulil amri yang ditetapkan oleh syarak. Marilah kita menanti keputusan rasmi dengan sikap terbuka dan penuh kesabaran.

Persatuan Jurufalak Syarie (JUFAS)