1 RAMADAN 1445 DI MALAYSIA SELASA, NEGARA LAIN ISNIN.

Shaaban 1445 di Malaysia digenapkan 30 hari, sedangkan dinegara luar Shaaban 29 hari dan telah mula berpuasa 1 Ramadan 1445 pada Isnin. Malaysia berpuasa lewat sehari berbanding negara lain.  Kenapakah ini berlaku?

Bulan Hijri mempunyai 29 atau 30 hari sahaja. Ini kerana peredaran Bulan mengelilingi bumi selama sebulan mengambil masa 29.53 hari sahaja. Oleh Itu, bilangan hari dalam  bulan Hijri yang dimulai dengan Muharram dan diakhiri dengan Zulhijjah itu hanya 29 atau 30 hari sahaja bukan 31 hari.

Mengikut hadis Sahih, mafhumnya; baginda nabi  menyuruh  berpuasa kerana melihat anak Bulan pada 29 Shaaban, namun sekiranya anak Bulan tidak kelihatan, Bulan Shaaban genapkan kepada 30 hari.

Dalam pada itu, negara Malaysia dan negara lain keluar mencerap anak Bulan pada (Ahad, 10 Mac 2024). Malaysia melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan tarikh Awal Puasa (12 Mac 2024, Selasa) sedangkan banyak  negara-negara Timur tengah  umumkan 11 Mac 2024, Isnin sebagai 1 Ramadan 1445.

Malaysia memilih berpuasa pada Selasa kerana:

Pertama :  Secara hisab (pengiraan) kedudukan anak Bulan tidak memungkinkan untuk kelihatan. Mengikut kriteria imkan al-rukyah  yang diamalkan oleh negara Malaysia buat masa ini, anak bulan dikira mungkin kelihatan sekiranya;

Ketika matahari terbenam

  1. a) Ketinggian anak bulan 3 darjah di atas ufuk
  2. b) Sudut elongasi (jarak lengkung) bulan-matahari 6.4 darjah.

     sumber:https://www.facebook.com/alkhawarizmi.falaksyarie

Pada petang hari  Ahad kedudukan anak Bulan tidak memenuhi kriteria tersebut. Justeru, ada munasabah untuk Malaysia tidak berpuasa keesokkan harinya (Isnin).

Kedua: Sememangnya anak Bulan Ramadan  tidak kelihatan di 29 tempat cerapan di Malaysia. Maka  bulan Shaaban digenapkan kepada 30 hari. Pada hari Isnin ia  masih berbaki 1 hari lagi dalam bulan Shaaban untuk membuat persiapan menyambut Ramadan bagi masyarakat Islam di Malaysia. Ia juga bepandukan ajaran Nabi S.A.W ibadah puasa perlu dimulakan pada Bulan Ramadan bukan Bulan Shaaban.

 

Kenapa anak Bulan tidak kelihatan di Malaysia sedangkan negara jiran khususya Indonesia mula berpuasa Isnin?

Perlu difahami bahawa negara Indonesia membenarkan rakyatnya berbeza dengan pemerintah. Untuk rekod pemerintah Indonesia juga mengumumkan tarikh awal Puasa jatuh sama seperti Malaysia iaitu Selasa, 12 Mac 2023. Namun terdapat kumpulan tertentu di Indonesia berpuasa lebih awal iaitu  Isnin, 12 Mac 2024. Contohnya, Ormas (Organisasi Massa) Muhammadiyah yang mempunyai  jutaan pengikut umumkan lebih awal mereka akan mula puasa  pada hari ini –Isnin, 12 Mac 2024. Walaupun begitu, Masyarakat di Indonesia saling hormat menghormati.

Justeru, kenapa negara Arab, Barat  mula puasa lebih awal dari Malaysia sedangkan mereka mencerap anak Bulan pada hari yang sama dengan Malaysia?

Seacara ilmu falak, walaupun negara-negara tersebut mencerap anak bulan yang sama, namun bentuk, tempoh anak bulan boleh dicerap, dan kedudukan anak Bulan sudah pasti berbeza. Ini kerana Malaysia berada lebih Timur berbanding negara-negara tersebut. Untuk rekod, peluang untuk melihat anak bulan pada petang Ahad di Malaysia, 10 Mac hanya selama 4 minit. Ditambah pula, jarak kedudukan bulan dan matahari dekat ketika matahari terbenam. Malah, cahaya matahari yang terang berderang itu akan menutupi cahaya bulan. Tiada lagi rekod dunia anak bulan kelihatan dengan keadaan sedemikian rupa.

Bagi negara Arab yang lebih barat dari Malaysia,  mereka berpeluang untuk mencerap anak bulan dalam tempoh 5-22 minit pada Ahad, 10 Mac 2024 mengikut pengiraan yang diterbitkan oleh The National Research Institute of Astronomy and Geophysics (NRIAG), Mesir. Contohnya, Bandar Madinah Munnawarah, 12 minit; Bandar Amman Jordan,  13 minit; Bandar Abu Dhabi; 11 minit; Kaherah,  14 minit; dan  Bandar Makkah; 12 minit.

Peluang untuk anak bulan kelihatan  tipis dinegara-negara tersebut. Namun, International Astronomical Center yang berpangkalan di Dubai melaporkan 22 negara mula berpuasa pada Isnin, 11 Mac 2024. Antaranya negara Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Mesir, Kuwait dan Bahrain. Sudah pasti ada negara yang melaporkan anak Bulan kelihatan. Agak menarik pada kali ini, anak bulan dilaporkan kelihatan di negara Arab Saudi sedangkan jarak anak bulan dan matahari ketika matahari terbenam dekat dan tempoh masa anak bulan di atas ufuk adalah  singkat.

Berita Rasmi Penentuan Awal Bulan di Negara Saudi

Sumber https://www.spa.gov.sa/N2062457

Sungguhpun begitu,  mengikut kajian-kajian falak yang terkini dalam Jurnal New Astronomy oleh  Faid et.al (2023) yang bertajuk Confirmation methodology for a lunar crescent sighting report menunjukan bahawa agak sukar diterima sekiranya anak Bulan dilaporkan kelihatan pada petang Ahad, 10 Mac 2024 dinegara tersebut.  Walaupun begitu, kita menghormati cara dan makanisma dan pertimbangan lain sesebuah negara dalam menentukan tarikh awal Ramadan di negara masing-masing. Mari kita meraikan perbezaan.