MEDAN, 8 September 2026 – Persatuan Jurufalak Syarie (JUFAS) bersama Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) dan Observatorium Ilmu Falak (OIF) UMSU telah menjayakan International Falak Expedition 2026, yang menggabungkan program lapangan di Samosir dan Berastagi dengan International Islamic Astronomy Colloquium di Medan.
Program selama tiga hari itu menghimpunkan penggiat falak dari Malaysia dan Indonesia menerusi aktiviti ilmiah, penerokaan alam serta perkongsian kepakaran. Di Samosir, peserta meneliti persekitaran Danau Toba daripada sudut topografi, atmosfera dan pemerhatian langit; manakala di Berastagi, mereka menghayati suasana tanah tinggi serta potensi pendidikan falak berasaskan alam.

Kemuncak program berlangsung di UMSU Medan melalui kolokium antarabangsa yang membincangkan arah kiblat, cerapan hilal, pendidikan falak dan gerhana. Pembentang dari Malaysia ialah Muhammad Haniff Baderun mengenai pengurusan arah kiblat JUFAS di Pulau Pinang, Mohamad Faizal Jani mengenai cerapan hilal rasmi di Perak, dan Angku Bolkhizan bin A Ahmad Thani mengenai gerhana matahari bagi tahun 2026 hingga 2028.
Presiden JUFAS, Profesor Madya Dr. Mohd Saiful Anwar Mohd Nawawi, berkata program itu memberi peluang kepada delegasi Malaysia melihat secara dekat peranan aktif OIF UMSU dalam memberikan khidmat kepada masyarakat. Beliau menzahirkan penghargaan terhadap usaha OIF UMSU memasyarakatkan ilmu falak melalui pendidikan, program edutourism, aktiviti cerapan dan pelbagai inisiatif penglibatan komuniti.

Kolokium tersebut turut memperkukuh hubungan JUFAS dengan OIF UMSU yang diterajui oleh Profesor Madya Dr. Arwin Juli Rakhmadi Butar-Butar. Dalam ucapannya, Dr. Arwin mengemukakan gagasan menghasilkan Kompedium Falak Nusantara sebagai wadah menghimpunkan khazanah, sejarah, amalan, tokoh, instrumen, data dan perkembangan ilmu falak di rantau ini.
Gagasan itu berpotensi menjadi projek ilmu bersama yang menghubungkan penyelidik dan institusi falak serantau. Kerjasama antara JUFAS dan OIF UMSU juga diharap dapat diteruskan melalui penyelidikan, latihan, penerbitan dan aktiviti cerapan bersama.
— JUFAS
