ULASAN

COVID-19 MENJENGUK ANAK BULAN RAMADAN DI DUNIA

Mohd Saiful Anwar Mohd Nawawi

Dunia hari ini diselubungi Covid-19 di saat umat Islam perlu memerhatikan anak bulan untuk menentukan  awal Ramadan 1441 H. Saat rencana ini ditulis, lebih 2.7 juta manusia di seluruh pelusuk dunia telah dijangkiti virus yang boleh membawa maut ini. Negara Uncle Sam atau Amerika Syarikat yang diterajui oleh Donald Trump merupakan negara paling tinggi dijangkiti virus yang di ibaratkan seperti tsunami menguak, membadai, menghempap negara tersebut. Antara negara-negara maju yang lain seperti Sepanyol, Itali, Perancis, dan Jerman merupakan negara yang beratus ribu ramai rakyatnya terkesan dengan pandemik ini [i]. Tempat yang dahulunya riuh rendah, gamat, meriah kini senyap sunyi sepi.

Antara Webinar Falak Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Turki satu satunya negara yang mempunyai majoriti penganut agama Islam tertinggi  yang lambat terkesan dengan  Covid-19.  Kira-kira awal Mac 2020 hanya baru satu kes positif dilaporkan, menjelang Ramadan 1441 H seramai lebih 100 ribu dari lebih 80 juta rakyatnya dijangkiti virus yang sebelum ini dikenali sebagai coronavirus. Berpuluh juta rakyat Turki pada kali ini menyambut Ramadan dalam keadaan suasana tidak sama seperti sebelum ini. Jika dulu meriah, kini masjid masih di buka bukan lagi untuk berjemaah tapi untuk melakukan Ibadat nafsi-nafsi. Jumlah rakyat terkesan dengan virus ini juga dapat diperhatikan kepada negara yang bersempadan dengan Turki iaitu Iran. Iran kini berada di tangga kelapan negara yang paling ramai rakyatnya dijangkiti virus yang boleh mengheret maut ini. Agak terkejut kerana Turki dan Iran sekarang ini melepasi jumlah angka jangkitan positif berbanding negara asal virus ini ditemui iaitu China. Walau apa pun hakikatnya semua ini merupakan aturan yang Maha Mengetahui. China yang menampakkan wabak ini makin surut  berada di tangga kesembilan  negara yang paling banyak dijangkiti virus Covid-19. Iran majortinya penganut  Islam antara negara terawal diluar China mula dan bergelut dengan pandemik ini. Ramadan kali ini sudah tentu disambut berbeza dari tahun sebelum-sebelum ini.   Namun begitu, banyak faktor yang mempengaruhi angka-angka ini, ada yang berpendapat jumlah populasi mempengaruhi angka-angka yang dipamerkan, begitu juga jumlah pemeriksaan (testing) Covid-19 akan mempengaruhi jumlah angka angka positif yang dipaparkan kepada dunia, Semakin banyak  testing dilakukan semakin banyak pula bilangan pesakit positif akan dijumpai. Begitulah sebaliknya.

Keratan Sinar Harian Mengenai Liputan Cerapan Anak Bulan ketika PKP

Di rantau Timur Tengah tidak kurang hebatnya, negara Saudi yang menjadi tempat tumpuan umat Islam tidak terkecuali menyaksikan peningkatan hari demi hari virus yang membahaya ini. Jika pada awal Mac 2020 jumlah pesakit yang dijangkiti Covid-19 hanya dua angka sahaja. Kini jumlah jangkitan virus ini hari demi hari meningkat sehingga 4 angka. Lebih seribu orang disahkan positif dalam sehari di negara yang terletaknya kiblat umat Islam itu.  Menyedari perhimpunan ramai akan menyemarakkan penularan virus,  Saudi telah menyekat kemasukkan rakyat asing ke Mekah dan Madinah sejak lewat Februari 2020 bagi tujuan menunaikan umrah. Ramai yang telah berkira-kira dan bersiap siaga untuk umrah di bulan Ramadan terpaksa membatalkan hasrat murni itu. [ii] Sembahyang terawih masih boleh  diadakan di Masjidilharam, namun caranya berbeza, jikalau dahulu lautan manusia membanjiri Masjidilharam  di bulan suci ini, kini hanya beberapa orang sahaja yang dibenarkan menunaikan solat sunat yang hanya ada di bulan Ramadan itu. Jikalau sebelum ini, bacaan surah al-Quran satu juzu’  atau lebih dalam tempoh 20 rakaat, Ramadan kali ini solat tarawih dipendekkan pula. Kini negara-negara seperti Qatar, UAE, Mesir, Moroco, Kuwait, Bahrain, Oman, dan Iraq semuanya antara negara-negara Teluk sedang dan telah diselubungi virus yang boleh menempa maut itu. Pendek kata, banyak penganut-penganut Islam di negara-negara arab terpaksa menyambut Ramadan di rumah masing-masing. Ini adalah ekoran daripada  kerajaan mengarahkan perintah duduk di rumah dan kurangkan pergerakan. Sembahyang jemaah bersaf-saf kini tidak dibenarkan. Sembahyang jumaat yang dirindui sudah berminggu-minggu tidak dilunaskan. Ini semua demi kemaslahatan yang lebih besar iaitu nyawa. Azan menjadi syiar Islam masih kedengaran dicorong-corong menara masjid seperti sebelum ini. Tetapi ia  bukan lagi seruan untuk orang ramai ke masjid, tetapi menyeru orang ramai supaya sembahyang dirumah masing-masing. Jika dulu budaya orang arab akan bersalaman dan belaga pipi, ada kalanya mereka belaga hidung semasa bertemu rakan dan taulan. Oleh kerana “coronafobia” ramai akur tidak melakukan amalan tradisi dek kerana takut dijangkiti virus yang kini masih tidak dijumpai penawarnya[iii]

[iv] Rekod Dunia Anak Bulan ICOP 2019 oleh  Muzamil Mazlan, Balai Cerap Teluk Kemang

Namun begitu, negara yang ramai penduduk Islam Pakistan, juga tidak terlepas dari dihinggap pandemik ini. Namun di sana  ceritanya  agak sedikit berbeza. Sebelum ini perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan oleh kerajaan, sembahyang jemaah dihadkan kepada hanya lima orang sahaja. [v] Tapi masih terdapat masyarakat di negara itu melaksanakan sembahyang jemaah, sembahyang jumaat di masjid. Jika sepuluh dua puluh orang agak mudah bagi pihak berkuasa menyuraikan perhimpunan keagamaan itu. Tapi dalam jumlah yang ramai sukar pihak berkuasa untuk menghalang perhimpunan tersebut. Menjelang  bulan puasa sembahyang solat jemaah dan tarawih dibenarkan di Pakistan, tetapi mereka mesti mengamalkan penjarakan sosial sekurang-kurang dua meter, dan digalakkan membawa sejadah masing-masing apabila sembahyang jemaah di masjid.

Tangkap Layar Pengumuman Anak Bulan Ramadan 1441 Hijrah/2020 Masihi di Brunei Darussalam

Agak menarik untuk memperhatikan di negara paling ramai umat Islam di dunia iaitu Indonesia, agak lambat negara yang mengamalkan sistem republik itu terkesan dengan coronavirus berbanding dengan negara-negara jiran lain seperti Malaysia dan Singapura. Tapi menjelang Ramadan,  jumlah kes  semakin hari semakin meningkat. Kini Indonesia merupakan antara negara yang tertinggi di rantau Asia Tenggara dalam senarai Covid-19. Kita dari jauh mendoakan yang terbaik buat saudara-saudara kita di sana. Sekali lagi jumlah pemeriksaan (testing) di kalangan penduduknya yang luas itu menjadi persoalan. Ramadan sudah tentu berbeza dengan sebelum-sebelum ini  bagi negara yang telah mengistiharkan darurat kesihatan oleh bapak Presiden Jokowi. Sebelum Ramadan muncul, Indonesia telah mengubah cuti Hari Raya Aidilfitri yang dijatuh dalam bulan Mei 2020 kepada bulan Disember 2020. Tindakan ini dilakukan untuk mengajak warga kota agar tidak “mudik” atau tidak pulang beramai-ramai ke kampung halaman untuk menyambut Lebaran atau Aidilfitri. Walaupun “mudik” selalunya dikala menyambut 1 Syawal, tetapi  larangan “mudik” diumumkan sebelum tarikh penentuan awal Ramadan lagi. Kerajaan menghalang perjalanan berjuta-juta rakyatnya melalui udara, darat, mahupun laut demi mengekang penularan wabak Covid-19. Badan fatwa di Indonesia, Majelis Ulama Indonesia (MUI) memfatwakan kawasan-kawasan hijau (tiada risiko wabak covid-19) di Indonesia boleh menunaikan kewajipan solat jumaat, jemaah, terawih di masjid  seperti biasa serta perlu mengamalkan langkah berjaga-jaga. [vi] Akan tetapi berbeza dengan Kementerian Agama Indonesia,  menyarankan solat jemaah dan terawih perlu diadakan di rumah. [vii] Sesuai dengan arahan negara-negara jiran seperti Malaysia, Singapora, mahupun Brunei. Di saat wabak ini sedang mengganas sembahyang jemaah, fardhu, sunat, mahupun tarawih di rumah adalah kemestian bagi mengelak penularan virus Covid-19.

Menjelang Ramadan, pemerintah atau kerajaan sudah pasti menentukan tarikh 24 atau 25 haribulan April 2020 sebagai 1 Ramadan 1441 H.  Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura berada di bawah kesepakatan MABIMS. Hisab dan rukyah menjadi patokan utama bagi negara-negara ini yang dikenali imkanurukyah.

Kedudukan Anak Bulan di Malaysia Pada 23 April 2020 (29 Syaaban 1441)

 Pada 29 haribulan Syaaban 1441 H akan dihisab kedudukan anak bulan. Sekiranya  anak bulan cukup syarat imkanurukyah maka ada ruang dan peluang untuk anak bulan kelihatan. Dalam kes penentuan Ramadan 1441, 29 Syaaban 1441 H bersamaan 23 April 2020. Seluruh Malaysia, Indonesia, Brunei mahupun Singapura kedudukan anak bulan telah memenuhi syarat imkanurukyah.  Namun  debaran pastinya terasa selepas matahari melabuhkan tirainya. Ini kerana hasil hisab, umur anak bulan lapan ke sembilan jam. Peluang untuk anak bulan kelihatan pula singkat, hanya 17 minit sahaja. Anak bulan kali ini rendah di atas  kaki ufuk, amat halus dan sulit serta rumit.  

Peta Kebolehnampakan Anak Bulan di Dunia bagi penentuan Ramadan 1441 H

Mengikut software yang dibangunkan oleh seorang ahli astronomi bernama Odeh, kawasan Asia Tenggara secara teorinya, mustahil untuk anak bulan kelihatan.  Anak bulan dijangkakan boleh kelihatan dengan bantuan teleskop (kawasan biru) hanya di kawasan negara Afrika dan Eropah. Anak bulan pada petang itu lebih mudah kelihatan di negara-negara Eropah. Contohnya di negara Zambia  umur anak bulan ketika maghrib adalah 13 jam, di United Kingdom pula umur anak bulan 17 Jam ketika matahari terbenam. Sudah tentu peluang untuk melihat anak bulan lebih besar di negara-negara tersebut. Justeru, semakin lama atau besar umur anak bulan peluang untuk anak bulan kelihatan semakin tinggi. Begitulah sebaliknya. Banyak negara-negara Timur Tengah memutuskan untuk berpuasa pada 24 haribulan April 2020 seperti negara Algeria, Bahrain, Mesir, Iraq, Jordan, Kuwait, Lubnan, Libya, Palestin, Qatar, Saudi,  Syria, Tunisia, Turkey, United Arab Emirates dan Yaman[viii].  Mungkin anak bulan kelihatan di negara tersebut atau mereka menggunakan syarat-syarat tertentu, walaupun anak bulan tidak kelihatan dikira boleh kelihatan setelah syarat-syarat tertentu dipenuhi. Kebanyakan negara di Timur Tengah yang pastinya secara yakin mengumumkan 24 April 2020 sebagai hari pertama untuk memulakan Ibadah puasa.

Poster dari Jabatan Mufti Selangor menunjukkan Tarikh 1 Ramadan 1441 hanya diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja

Sementara itu, rekod dunia anak bulan paling muda mengikut The Islamic Crescent Observation Project (ICOP) adalah berumur 12 jam. Anak bulan ini telah  berjaya dicerap oleh pencerap bernama Jim Stamm dari USA  pada 2012. Tahun lepas,   Muzamil Mazlan, dari Balai Cerap Teluk Kemang, Malaysia  tersenarai di laman web tersebut sebagai  pencerap yang berjaya memegang “world record” merakamkan anak bulan berusia 12 jam. Bangga kita dengan pencapaian ini. Seluruh dunia Islam akan melihat laman web tersebut khususnya ahli falak. Sudah tentu, anak bulan Ramadan 1441 H lebih mencabar, lebih sulit, lebih cerewet. Jika sesiapa yang berjaya melihatnya pada kali ini sudah tentu ia menjadi rekod dunia baharu. Sekiranya ada pencerap dari Malaysia berjaya mencerap anak bulan kali ini, ia akan memecah rekod dunia baharu.  Selepas tempoh cerapan anak bulan, anak bulan diumumkan kelihatan di Indonesia di tiga tempat. Seperti tahun-tahun sebelum ini anak bulan kelihatan termuda pernah kelihatan di Indonesia, namun  ada yang  mempertikaikan seperti tiada bukti gambar yang dibuktikan oleh pencerap. Tiada gambar pula dihantar kepada ICOP untuk disahkan sebagai rekod dunia dan sebagainya. Walau bagaimanapun dalam syariat tidak perlu dibukti dengan gambar, cukup dengan penyaksiaan yang benar untuk mengesahkan kenampakan anak bulan. Pemerintah Indonesia mengumumkan tarikh awal Ramadan 1441 bersamaan 24 April 2020 setelah sidang isbat maya yang julung kali diadakan. Singapura pula seperti tahun-tahun tanpa wabak Covid-19, tidak melakukan cerapan disebabkan halangan ufuk yang tidak memungkinkan anak bulan dicerap. Justeru ummat Islam di Singapura menetapkan Ramadan 24 April 2020 berdasarkan syarat  kriteria Imkanurukyah MABIMS.

Malaysia pula kali ini dalam suasana kawalan pergerakan (PKP), kerajaan menghadkan rakyat bergerak kesana kesini. Jumlah pencerap dan tempat cerapan juga dihadkan. Jika sebelum-sebelum ini, 29 tempat cerapan anak bulan, kali ini hanya 15 tempat cerapan sahaja.  Manakala jumlah pencerap dihadkan kepada 5-6 orang di satu-satu tempat cerapan. Ramai pencerap-pencerap anak bulan rutin tahunan mereka sebelum ini hanya menunggu khabar di rumah masing-masing.   Indeks pencemaran udara kebelakangan ini amat baik di seluruh dunia dalam tempoh kebanyakan manusia terperok berkurung di dalam rumah. Amat bertuah kali ini, anak bulan termuda kelihatan di Universiti Malaysia Sabah, Kampus Labuan berumur 8 jam 15 minit. Anak bulan ini dicerap oleh Pegawai Falak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan,  Angku Bolkhizan Ahmad Thani  bersama dua ahli Jawatankuasa Rukyah yang lain. Bukan sahaja kesaksian, bukti gambar juga telah diserahkan kepada ICOP untuk analisa seterusnya. Syabas dan Tahniah!. Untuk mendapat anak bulan semuda dan senipis ini sudah tentu perlukan ketekunan dan usaha yang gigih bertahun-tahun lamanya di samping keadaan cuaca yang dizinkan olehNya.   

Anak Bulan Ramadan 1441 H; Angku Bolkhizan A Ahmad Thani

Salah satu negara di rantau Asia Tenggara iaitu negara Brunei Darussalam mengumumkan awal Ramadan jatuh 25 April 2020. Ia lewat sehari dari negara jiran tertangga.  Ini berikutan anak bulan tidak memunculkan diri bagi membolehkan ia kelihatan. Oleh kerana Brunei mengamalkan rukyah anak bulan sebagai penentu, mereka akur anak bulan tidak kelihatan. 24 haribulan April 2020 masih belum bermula Ibadat puasa di Brunei.   Iran sama seperti Brunei mengamalkan rukyah dalam penentuan awal puasa. Walaupun di negara tersebut anak bulan hampir 13 jam umurnya, peluang untuk melihat anak bulan adalah tinggi. Namun, anak bulan tidak kelihatan di sana, begitu juga Morocco, Oman[ix],  Pakistan,  Sudan,  menyambut Ramadan pada 25 April 2020. Yang pasti semua negara dalam suasana terkesan dengan  Covid-19. Ramadan telah tiba, pastinya anak bulan yang selalu berselindung disebalik awan itu lambat laun akan kelihatan jua, sama-sama kita berdoa kepada Pencipta agar lekas berlalu pergi kesulitan disebalik wabak Covid-19 ini.

24 April 2020M/1 Ramadan 1441 H  


[i] https://www.worldometers.info/coronavirus/#countries

[ii] https://www.aljazeera.com/news/2020/04/coronavirus-pandemic-change-ramadan-muslims-200420074054279.html

[iii] https://www.aljazeera.com/news/2020/03/coronavirus-gulf-states-warm-mosque-prayers-200315160444406.html

[iv] https://www.astronomycenter.net/record.html

[v] https://www.aljazeera.com/news/2020/04/pakistanis-gather-friday-prayers-defying-coronavirus-advisory-200417104036221.html

[vi] https://mui.or.id/wp-content/uploads/2020/03/Fatwa-tentang-Penyelanggaran-Ibadah-Dalam-siatuasi-Wabah-COVID-19.pdf

[vii] https://manado.tribunnews.com/2020/04/06/isi-edaran-baru-kemenag-diterbitkan-menteri-agama-fachrul-razi-hari-ini-senin-642020?page=all

[viii] https://www.astronomycenter.net/icop/ram41.html

[ix] https://www.khaleejtimes.com/ramadan-2020/oman-declares-april-25-as-first-day-of-ramadan