Tokyo, Jepun | 19–21 Oktober 2025 — Hubungan strategik antara Malaysia dan Jepun dalam bidang ilmu falak terus diperkukuh melalui penganjuran Japan–Malaysia Seminar and Workshop on Hilal Observation 2025, yang berlangsung selama tiga hari di Tokyo. Program ini menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan penyelidikan, pertukaran kepakaran serta pembangunan teknologi falak Islam di peringkat antarabangsa.

Program ini dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Rukyatul Hilal Committee Japan (RHCJ) dan Persatuan Jurufalak Syarie (JUFAS). Tuan Haji Amran bin Awaluddin, Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan JAKIM, sebagai ketua delegasi kali ini telah berjaya menghimpunkan para sarjana, pakar falak dan pegawai Jabatan Mufti dari Malaysia bersama komuniti Muslim Jepun bagi membincangkan isu-isu semasa berkaitan penentuan awal bulan Hijri dan integrasi teknologi moden dalam cerapan hilal.

Presiden RHCJ, Dr. Salimur Rahman Khan Nadwi, dalam ucapan perasmian menyatakan penghargaan kepada Malaysia atas kesudian berkongsi kepakaran luas dalam bidang falak Islam. Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia kini menjadi antara negara Islam terkehadapan dalam pengurusan rukyah hilal yang sistematik. RHCJ melakukan rukyah tempatan di samping merujuk kepada negara-negara terdekat dalam membuat keputusan untuk penentuan awal puasa dan hari raya.

Menurut Encik Shahril Azwan bin Hussin, Pengarah Program merangkap Penolong Pengarah Kanan Seksyen Falak JAKIM, penganjuran ini membuktikan komitmen berterusan Malaysia memperkasa bidang falak Islam di peringkat global.
“Inisiatif ini menyerlahkan peranan Malaysia sebagai pusat rujukan utama dalam bidang falak, khususnya dalam aspek penentuan awal bulan Hijri. Malaysia kini menjadi rujukan kepada beberapa negara minoriti Muslim seperti Timor-Leste, Hong Kong, Jepun dan Australia dalam membuat keputusan berhubung permulaan Ramadan dan Hari Raya,” jelas beliau.

Seminar pada hari pertama menampilkan tiga sesi utama yang diisi dengan pembentangan oleh tokoh-tokoh syariah dan falak terkemuka Malaysia, antaranya Sahibus Samahah Dato’ Setia Dr. Haji Anhar Haji Opir, Mufti Selangor; Profesor Dato’ Dr. Mohd Zambri Zainuddin, Ahli Panel Pakar Falak JAKIM dan Profesor Kehormat Universiti Malaya; serta Dr. Raihana Abdul Wahab, Ahli Panel Pakar Falak JAKIM dan Pensyarah Universiti Malaya.

Turut serta menyumbang pandangan ilmiah ialah Dr. Nazhatulshima Ahmad dan Dr. Mohd Hafiz Safiai, pensyarah astronomi/falak dari institusi pengajian tinggi tempatan, bersama pegawai daripada Jabatan Mufti Negeri Selangor, Perak, Wilayah persekutuan dan Negeri Sembilan dan Melaka.

Antara pengisian menarik ialah pembentangan oleh Encik Hardi bin Mohamad Sadali, Penolong Mufti Kanan Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Selangor, yang menyampaikan topik bertajuk “Empowering Falak Management in Selangor: eFalak Selangor.” Beliau turut mempersembahkan demonstrasi penggunaan sistem eFalak bagi menentukan arah kiblat dengan ketepatan tinggi.

Selain itu, Encik Faizal Jani, Pegawai Falak Jabatan Mufti Negeri Perak turut berkongsi pengalaman rasmi cerapan hilal melalui pembentangan bertajuk “Sharing Official Hilal Observation Experiences from Baitulhilal Segari, Perak Darul Ridzuan (Ramadan, Syawal and Zulhijjah).” Sesi ini menonjolkan peranan aktif Negeri Perak dalam memartabatkan amalan falak Malaysia di persada antarabangsa.

Sesi yang disampaikan oleh Dr. Mohd Hafiz Safiai, Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), turut menarik perhatian para peserta melalui pembentangan bertajuk “Contributions of Falak NGOs in Malaysia.” Dalam sesi ini, beliau menghuraikan peranan penting pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memperkukuh pembangunan ilmu falak di Malaysia, khususnya melalui aktiviti penyelidikan, pendidikan awam, dan jaringan kerjasama antara institusi akademik serta agensi kerajaan.

Program hari kedua diteruskan dengan siri lawatan akademik dan keagamaan ke beberapa lokasi penting di Tokyo seperti Masjid Tokyo Camii, Kedutaan Besar Malaysia, dan Japan Muslim Association (JMA). Para peserta berpeluang berinteraksi secara dua hala dengan komuniti Muslim di Jepun, khususnya dalam membincangkan isu-isu berkaitan Islam dan falak di negara tersebut.

Selain lawatan rasmi, enam buah masjid turut dipilih sebagai lokasi sesi kuliah dan dialog bersama masyarakat tempatan selepas solat Isyak, termasuk Masjid Otsuka, Masjid Yokohama, Masjid Hira, Masjid Tokai, Masjid Baitul Aman dan Masjid Nishikasai.

Mufti, pegawai kanan JAKIM serta wakil daripada Jabatan Mufti turut mengambil bahagian dalam sesi perkongsian ini, antaranya Tuan Haji Amran bin Haji Awaludin; Sahibus Samahah Datu Haji Kipli bin Haji Yassin, Mufti Negeri Sarawak; dan Sahibus Samahah Tuan Haji Jamali bin Mohd Adnan, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan. Mereka menyampaikan syarahan serta menjawab pelbagai pertanyaan masyarakat berhubung isu falak dan penentuan kalendar Islam.

Persatuan Jurufalak Syarie (JUFAS) yang diwakili oleh Setiausaha Agungnya, Dr. Muhammad Ridzuan bin Hashim, turut mengambil bahagian dalam sesi tersebut dengan memberikan penerangan mengenai pendekatan Malaysia dalam bidang falak serta menjelaskan beberapa kekeliruan yang timbul dalam kalangan masyarakat setempat.

Melalui pertemuan ini, masyarakat Islam di Jepun berpeluang memahami dengan lebih mendalam kaedah Malaysia dalam penentuan awal bulan Hijri serta pelaksanaan rukyah dan hisab.

Secara tidak langsung, program ini memperkukuh hubungan ukhuwah antara masyarakat Islam Malaysia dan Jepun, di samping memperluas kefahaman tentang cabaran yang dihadapi oleh komuniti Islam minoriti dalam melaksanakan ibadah di negara bukan Islam.

Selain itu, bengkel praktikal cerapan hilal yang dikendalikan oleh Dr. Nazhatulshima Ahmad, Pensyarah Kanan, Jabatan Fizik Universiti Malaya, memberikan pengalaman lapangan yang berharga kepada para peserta dalam penggunaan instrumen optik dan perisian falak terkini.

Aktiviti cerapan dilaksanakan di dua lokasi utama — Balai Cerap Astronomi Nagano dan Kasai Marine Park, Tokyo, dengan penyertaan wakil daripada National Observatory of Japan (NOAJ) dan Japan Muslim Association (JMA).

Bengkel ini bukan sahaja memperkukuh pemahaman peserta terhadap aspek teori cerapan hilal, tetapi juga menonjolkan penerapan praktikal dalam kaedah pencerapan sebenar.

Pengerusi JUFAS, Profesor Madya Dr. Mohd Saiful Anwar Mohd Nawawi yang juga pensyarah di Jabatan Fiqh-Usul dan Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya menegaskan bahawa program ini merupakan kesinambungan kepada agenda pemindahan ilmu (knowledge transfer) kepada masyarakat Islam antarabangsa.

“Pada tahun sebelumnya, JUFAS terlibat membantu dalam menganjurkan kursus ke Diyanet (Presidency of Religious Affairs), Turkiye bagi tujuan benchmarking dan pertukaran kepakaran dalam bidang falak. Tahun ini, Jepun dipilih sebagai destinasi kerana negara tersebut mengamalkan pendekatan rukyah tempatan dan turut merujuk hasil cerapan dari negara jiran seperti Malaysia dalam penentuan awal bulan Hijri. Melalui seminar dan bengkel ini, kita bukan sahaja berkongsi ilmu dan pengalaman, tetapi turut memperkenalkan produk serta teknologi falak Malaysia di pentas global,” katanya.
