Putrajaya, 25 Jun 2025 – Persatuan Jurufalak Syarie Malaysia (JUFAS) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan taulan, orang ramai serta seluruh warga JUFAS yang telah menyalurkan sumbangan soladariti ikhlas kepada balu Allahyarham Ustaz Khairul Anuar bin Yazid, mantan Setiausaha JUFAS yang telah kembali ke rahmatullah baru-baru ini.
Jumlah sumbangan yang berjaya dikumpulkan adalah sebanyak RM3,000, hasil inisiatif bersama komuniti falak yang mengenang jasa dan sumbangan Allahyarham dalam memartabatkan ilmu falak di Malaysia.
Majlis penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Bendahari JUFAS, En. Sharil Azwan Hussin dan Setiausaha JUFAS, Dr. Muhammad Ridzuan Hashim kepada pihak keluarga Allahyarham baru-baru ini.

Allahyarham Ustaz Khairul Anuar dikenang sebagai seorang tokoh falak yang berdedikasi dan komited, serta telah memainkan peranan penting dalam pelbagai inisiatif falak di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar kepada komuniti ilmu falak di Malaysia.
Semoga sumbangan ini menjadi tanda soladariti dan ingatan atas segala jasa dan bakti yang telah dicurahkan oleh Allahyarham.
Al-Fatihah.
