Program Pelancaran Bulan Falak Malaysia 1445H/2023M

JUFAS mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah  memilih Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Persatuan Jurufalak Syarie (JUFAS) dan Persatuan Falak Syari’i Malaysia sebagai penganjur bersama Bulan Falak Malaysia 14445H/2023M.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh YBHG. Datuk Hajah Hakimah Binti Mohd Yusoff, Ketua Pengarah  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Mengikut beliau Bulan Muharram adalah bulan pertama dalam tahun hijrah.  Bulan Muharram diisytiharkan sebagai Bulan Falak Malaysia.

Sambutan ini telah  dilancarkan oleh Yang Behormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama pada 1443 Hijrah Bersamaan 2021 Masihi yang lalu. Program ini diteruskan lagi sehingga kini iaitu 1445 hijrah. Kali ini  bertemakan  ‘Melestarikan Falak Dalam Mengenal Al-Khaliq’.

Menurut Ketua Pengarah JAKIM lagi, menerusi ayat-ayat Al-Quran, dapat kita meneliti serta mengamati bagaimana cara untuk melestarikan ilmu falak dalam mengenali Al-Khaliq.

Matlamat akhirnya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menginsafi keagungannya selaku Al-Khaliq.

Antara caranya ialah :

Melihat kepada Nabi yang menjadikan suatu kebiasaaan untuk membaca ayat 190 sehingga 200 Surah Ali-‘lmran setiap kali baginda memulakan Qiamullail (sembahyang malam) dengan memerhatikan kebesaran ciptaan Allah SWT.  Maksudnya;

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;”

“(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”     [Ali ‘lmran 190-200]

Melalui perbuatan baginda menunjukkan bahawa zikir terhadap pencipta semata-mata, tidaklah sempurna tanpa memikirkan kebesaranNya melalui makhluk yang diciptakanNya. Dalam ayat diatas wujudnya 3 elemen zikir;

  1. Zikir Lisan menerusi ayat, ٱلَّذِينَ يَذْكُرُونَ ٱللَّهَ –(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah
  2. Zikir Fizikal menerusi ayat,  قِيَـٰمًۭا وَقُعُودًۭا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ  – semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring,
  3. Zikir Qalbi atau Akal menerusi ayat,   وَيَتَفَكَّرُونَ فِى خَلْقِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ  dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi.

JUFAS diwakili oleh Pengerusi Persatuan, Profesor Madya Dr Mohd Saiful Anwar Mohd Nawawi yang juga merupakan Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pegajian Islam, Universiti Malaya. Program ini turut dihadiri oleh  Ahli Jawatankuasa JUFAS dan warga JUFAS.

credit: Berita RTM