Pada September 2019 negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah berjaya menghantar angkasawan ke International Space Station (ISS). Tanpa menoleh ke belakang, UAE terus mengorak langkah melakar sejarah menempa nama sebagai negara Arab/Islam pertama melakukan penerokaan angkasa lepas ke planet Marikh. Kini, menjelang Zulhijah 1441, UAE sebaris dengan negara-negara kuasa besar yang berlumba-lumba “menguasai” angkasa seperti USA, Rusia, Jepun dan lain-lain. Tepatnya, 27 Zulkaedah 1441 bersamaan 19 Julai 2020 kapal angkasa yang dinamakan al-Amal atau “harapan” telah dilancarkan dari tapak pelancaran roket Tanegashima, Jepun. “Harapan” dijangka akan menjalankan misi mengorbit marikh selama setahun – 687 hari. Antara lain, tujuan pelancaran “Harapan” kebanggaan UAE ini adalah mengkaji atmosfera, cuaca di planet yang dikenali sebagai planet merah itu. Apa yang lebih penting adalah misi besar ini akan memberi inspirasi kepada saintis-saintis muda Arab untuk menceburi bidang sains, di samping misi lain seperti ekonomi, dan teknologi. Natijahnya, ia secara tidak langsung merupakan satu langkah untuk menggalakkan masyarakat Arab menyumbang kepada penemuan-penemuan sains seperti yang dilakukan oleh saintis pada zaman kegemilangan sains Islam yang lalu.
Hagia Sofia dan Kalendar Islam
Menjelang Zulhijah 1441 setelah 86 tahun terhenti, umat Islam kembali bersolat jemaah dan Jumaat pada 24 Julai 2020 H/3 Zuhijjah 1441H dalam bangunan ikonik Hagia Sofia (Agia Sofia dikenali sebagai Ayasofia oleh penduduk di Turki). Ini adalah ekoran daripada keputusan mahkamah di Turki membatalkan keputusan Presiden Mustafa Kamal Ataturk menjadikan Hagia Sofia sebagai muzium pada tahun 1934. Sebelum itu, Hagia Sofia yang mempunyai seni bina yang unik ini telah menjadi katedral beratus tahun bagi penganut Kristian Ortodok. Apabila Konstantinopel jatuh di bawah kekuasaan kerajaan Uthmaniah, Sultan Mehmat II telah menukar status Hagia Sofia kepada masjid pada tahun 1953. Penukaran status bangunan yang mempunyai sejarah penting bagi dua penganut agama ini disambut secara bercampur-campur. Ada yang menyambut baik keputusan ini. Tidak kurang juga kritikan yang hebat dari dalam dan luar negara diterima oleh Turki. Sudah tentu, proses penukaran status bangunan Hagia Sofia dalam era pemerintahan Recep Tayyip Erdoğan ini bukan mengambil masa sehari dua untuk menjadikannya sebagai realiti. Walaupun ia merupakan urusan dalaman negara Turki, ia mengambil masa berbelas tahun lamanya untuk dibereskan. Tanpa kesungguhan dan kesabaran bagi proses pembubaran status muzium selepas menjadi masjid 500 tahun yang lalu, sudah tentu ia tidak akan menemui jalan keluar.
Mengambil iktibar daripada itu, penyatuan Kalendar/Takwim Islam pada era kini diteruskan pada tahun 2016. Turki di bawah pimpinan Recep Tayyip Erdoğan telah menganjurkan Persidangan Penyatuan Kalendar Islam pada tahun 2016. Kerajaan Erdogan telah berjaya menghimpunkan wakil-wakil lebih 60 negara yang terdiri daripada pakar-pakar astronomi, ulama dan pentadbir untuk membincangkan penyatuan kalendar Islam. Antara nama-nama besar yang hadir adalah Sheikh Yusuf al-Qaradawi, Shiekh Ali Quradaghi, Shiekh Sharaf Qudah, Shiekh Taqi al-‘Usmani, Nidhal Guessoum, Jamaluddin Abdul Razzak, Odeh dan ramai lagi. Setelah beberapa hari dibahas dan diuli tema pelaksanaan penyatuan kalendar Islam oleh para peserta, akhirnya antara kata putus yang dicapai adalah perlunya kalendar Islam yang tunggal di dunia kini. Ini bermakna tarikh 1 haribulan Hijri di seluruh dunia hanya mempunyai satu tarikh masihi yang sama, tidak dua, tiga, atau empat tarikh yang berbeza. Persoalan mengenai penyatuan kalendar Islam kini bukan sahaja melibatkan syariah dan sains semata-mata, aspek politik juga memainkan peranan penting ke arah menjadikan impian penyatuan kalendar Islam sebagai satu kenyataan. Setelah empat tahun berlalu, Turki telah melakukan yang terbaik untuk menyatukannya. Kini usaha yang tidak putus perlu digembleng oleh ahli-ahli falak mahupun agamawan di negara lain untuk meyakinkan pemerintah negara masing-masing ke arah penyatuan kalendar Islam yang sudah tentu mengambil masa dan proses yang panjang menuju ke arah itu.
Covid-19 dan Takwim Ummu Qura
Dalam sejarah umat Islam wabak taun, korela, H1N1 dan kini Covid-19 memberi kesan terhadap pelaksanaan ibadah haji. Saban tahun lebih 2 Juta umat Islam akan berhimpun di bumi haram Mekah. Tahun ini ibadah haji tetap ada, hanya sebilangan kecil sahaja dibenarkan untuk melaksanakan rukun Islam kelima itu. Tawaf, sa’i, wukuf, melontar jumrah tahun ini agak “sayu”. Ia tidak seperti tahun-tahun sebelum ini. Situasi Covid-19 di negara yang terletaknya kiblat umat Islam itu tampak ada trend penurunan, akan tetapi menjelang Zulhijah 1441 jumlah kes aktif harian masih di angka lebih dua ribu sehari, malah jumlah kematian masih mencatatkan dua angka setiap hari. Demi menjaga maslahah yang lebih besar iaitu “nyawa”, kerajaan Saudi mengambil keputusan seperti yang dijangkakan. Walaupun persediaan telah dibuat oleh umat Islam, mereka redha apa yang ditentukan olehNya.
Walaupun begitu, tahun ini wukuf 9 Zulhijah 1441 akan berlangsung. 10 Zulhijah 1441 Hari Raya Aidiladha akan diraikan. Saudi mengamalkan Takwim Umm Qura dalam menentukan tarikh Hijri. Takwim ini mengamalkan konsep wujudulhilal. Konsep ini secara ringkasnya, semasa 29 haribulan Hijri sekiranya anak bulan berada di atas ufuk setelah matahari terbenam, keesokan harinya dijadikan satu haribulan. Jika tidak, ditentukan sebaliknya. Tarikh melihat anak bulan 29 Zulkaedah 1441 mengikut Takwim Ummu Qurra bersamaan dengan 20 Julai 1440. Hasil hisab falak pada tarikh tersebut anak bulan masih belum lahir dan tiada di atas ufuk. Sudah tentu anak bulan dilaporkan tidak kelihatan. Saudi menetapkan, 1 Zulhijah 1441 jatuh pada 22 Julai 1441. Manakala tarikh 10 Zulhijah pula jatuh 31 Julai 2020. Banyak negara yang menentukan tarikh 1 Zulhijah dan hari Raya Aidiladha sama dengan tarikh yang ditentukan oleh negara Saudi. Mengikut laman sesawang International Astronomical Center, negara-negara seperti Algeria, Bahrain, Bosnia Herzegovina, Mesir, Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Lubnan, Libya, Moroko, Nigeria, Oman, Palestin, Qatar, Sudan, Syria, Tunisia, Amiriah Arab Bersatu, Amerika Syarikat dan Yaman menetapkan 1 Zulhijah dan ,10 Zulhijah pada tarikh yang sama seperti negara Saudi.
Kepentingan Cerapan Anak Bulan
Di rantau Asia Tenggara, Malaysia, Indonesia, Brunei, dan Singapura menggunakan Takwim Imkanurrukyah MABIMS kira-kira sejak 25 tahun yang lampau. Takwim ini menggunakan konsep “possibility of sighting” (kemungkinan kelihatan). data-data kenampakan anak bulan yang lalu dikumpul dan disaring lalu dirumuskan satu kriteria yang memungkinkan anak bulan untuk kelihatan pada kedudukan tertentu. Menurut takwim ini, tarikh melihat anak bulan 29 Zulkaedah 1441 jatuh pada 21 Julai 1441. Ia berbeza sehari dengan tarikh dalam Takwim Ummu Qura yang digunakan oleh negara Saudi. Oleh yang demikian, Malaysia, Indonesia, Brunei akan mencerap anak bulan pada 21 Julai 1441 bersamaan 29 Zulkaedah 1441. Dalam pada itu, penyelidik dari Universiti Malaya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Institut Teknologi Bandung (ITB) mengadakan kerjasama penyelidikan berkaitan anak bulan beberapa hari sebelum itu. Di samping penyelidikan bersifat akademik, satu program telah dirangka bersama dengan Apadilangit untuk menyebar luaskan proses dan kepentingan cerapan anak bulan kepada masyarakat. Sementara itu juga, di sebalik kesibukan pencerap-pencerap mengejar komet NOEWISE yang menghiasi langit rantau ini, ramai rakan-rakan pencerap dari balai-balai cerap di Malaysia, jabatan-jabatan mufti, teman taulan di Indonesia memberikan komitmen yang terbaik untuk berlintas langsung suasa cerapan anak bulan melalui “Muka Buku Apadilangit”.
Syukur, selepas matahari beradu, pencerap dari Balai Cerap Al-Biruni Sabah, Balai Cerap al-Khawarizmi Melaka, Balai Cerap Teluk Kemang Negeri Sembilan, Bukit Besar Kuala Terengganu dan Sarawak telah berjaya merakamkan imej anak bulan. Sudah tentu, data-data kenampakan anak bulan ini penting dalam merumuskan kriteria kenampakan anak bulan kelak. Malaysia melalui pihak Penyimpan Mohor Raja-Raja memengumumkan tarikh 1 Zulhijah dan 10 Zulhijah sama seperti tarikh yang diumumkan negara Saudi. Di Indonesia seperti tahun-tahun sebelum ini, dalam sidang isbat dilaporkan anak bulan telah kelihatan di beberapa tempat di Indonesia. Mereka bersumpah menyaksikan anak bulan di hadapan hakim Pengadilan Agama Kupang, Gresik, Tuban, dan Kabupaten Sukabumi. Menteri Agama Fachrul Razi mengumumkan penetapan tarikh 1 Zulhijah 1440 di Indonesia sama seperti di Malaysia dan Saudi. Bagi negara Singapura pula, cerapan anak bulan tidak dapat dilakukan disebabkan faktor tiada tempat cerapan yang sesuai untuk memungkinkan cerapan anak bulan dilaksanakan. Seperti sebelum ini tarikh 1 Zulhijah 1441 di Singapura hanya berpandukan hisab kriteria kenampakan anak bulan yang digunakan oleh MABIMS. Lantaran itu, tarikh tersebut di Singapura pada kali ini sama dengan Malaysia dan Indonesia.
Hari Raya Aidiladha 1 Ogos 2020
Di Brunei pula, mungkin cuaca tidak bersahabat. Brunei yang mengamalkan rukyah anak bulan sebagai “penentu” menetapkan 1 Zulhijah 1441 bersamaan 23 Julai 2020. Justeru, perayaan Aidiladha (1 Ogos 2020) di Brunei akan disambut lambat sehari berbanding negara jiran tetangga. Mengikut laman sesawang International Astronomical Center, selain Brunei, negara Bangladesh dan Nepal antara negara yang menetapkan sama seperti negara Brunei Darussalam. Justeru, kali ini seluruh dunia akan menyambut Aidiladha pada tarikh yang sama 10 Zulhijah 1441. Cuma tarikh masihi sahaja yang berbeza sama ada 31 Julai 2020 atau 1 Ogos 2020. Sayugianya, setiap tarikh yang ditetapkan itu mempunyai justifikasi syarak.