oleh: Mohamad Faizal Bin Jani
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله الذى هدانا لهذا وما كنا لنهتدى لولا ان هدانا الله. والصلاة والسلام على عبده ورسوله نبينا محمد وعلى آله وأصحابه ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين
Saya mulakan catatan ringkas ini dengan saya mohon pengampunan dari Allah SWT agar setiap kesalahan dan kedhaifan saya diampunkan oleh Allah SWT dan juga untuk seluruh muslimin dan muslimat sekalian insya Allah.
Tulisan ringkas ini terhasil dari beberapa isu yang ditimbulkan berkaitan ketidaktepatan waktu solat yang dipaparkan di dalam takwim solat. Ini bukan artikel ilmiah tetapi hanyalah satu catatan ringan bagi pembaca memahami isu waktu solat.
Tular atau ditularkan isu ketidaktepatan waktu solat terutama melibatkan waktu Subuh, Zuhur dan Maghrib. Dakwaan mereka menyatakan bahawa waktu solat sedia adalah terlalu awal dan waktu solat belum pun masuk. Maka waktu solat perlu dilewatkan bagi memastikan ia masuk. Ini berpunca dari hasil cerapan yang mereka lakukan menunjukkan waktu solat yang dipaparkan hari ini adalah terlalu awal dan tidak tepat.Tanpa menjelaskan kaedah cerapan yang dilakukan, lokasi yang tepat, kedudukan fajar ketika waktu Subuh belum kelihatan dan matahari ketika waktu Maghrib masih kelihatan.
Dakwaan ini telah menimbulkan keraguan terhadap takwim solat yang diterbitkan oleh pihak berkuasa agama dan dakwaan ini adalah sangat sensitif dan merbahaya. Ini kerana ia menimbulkan syubhat di kalangan masyarakat tanpa asas yang kukuh dan ia menimbulkan banyak fitnah dan tanda tanya dikalangan masyarakat. Ini belum lagi melibatkan persoalan fiqh yang timbul dari tulisan tersebut.
APAKAH ASAS PENENTUAN WAKTU SOLAT?
Pensyariatan waktu solat telah diturunkan oleh Allah Subhanahu wa taala berdasarkan waktu yang telah ditentukan. Firman Allah Subhanahu wa taala dalam surah al-Nisa’ : 103 :
فَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَٰوةَ إِنَّ ٱلصَّلَٰوةَ كَانَتْ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ كِتَٰباً مَّوْقُوتاً
Bermaksud : “..maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”
Walaubagaimanapun sempadan waktu solat dijelaskan dalam hadis dengan lebih terperinci. Berdasarkan hadis dari Jabir Ibn Abdillah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad :
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ وَهُوَ الْأَنْصَارِيُّ :
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَاءَهُ جِبْرِيلُ فَقَالَ قُمْ فَصَلِّهْ فَصَلَّى الظُّهْرَ حِينَ زَالَتْ الشَّمْسُ ثُمَّ جَاءَهُ الْعَصْرَ فَقَالَ قُمْ فَصَلِّهْ فَصَلَّى الْعَصْرَ حِينَ صَارَ ظِلُّ كُلِّ شَيْءٍ مِثْلَهُ أَوْ قَالَ صَارَ ظِلُّهُ مِثْلَهُ ثُمَّ جَاءَهُ الْمَغْرِبَ فَقَالَ قُمْ فَصَلِّهْ فَصَلَّى حِينَ وَجَبَتْ الشَّمْسُ ثُمَّ جَاءَهُ الْعِشَاءَ فَقَالَ قُمْ فَصَلِّهْ فَصَلَّى حِينَ غَابَ الشَّفَقُ ثُمَّ جَاءَهُ الْفَجْرَ فَقَالَ قُمْ فَصَلِّهْ فَصَلَّى حِينَ بَرَقَ الْفَجْرُ أَوْ قَالَ حِينَ سَطَعَ الْفَجْرُ ثُمَّ جَاءَهُ مِنْ الْغَدِ لِلظُّهْرِ فَقَالَ قُمْ فَصَلِّهْ فَصَلَّى الظُّهْرَ حِينَ صَارَ ظِلُّ كُلِّ شَيْءٍ مِثْلَهُ ثُمَّ جَاءَهُ لِلْعَصْرِ فَقَالَ قُمْ فَصَلِّهْ فَصَلَّى الْعَصْرَ حِينَ صَارَ ظِلُّ كُلِّ شَيْءٍ مِثْلَيْهِ ثُمَّ جَاءَهُ لِلْمَغْرِبِ الْمَغْرِبَ وَقْتًا وَاحِدًا لَمْ يَزُلْ عَنْهُ ثُمَّ جَاءَ لِلْعِشَاءِ الْعِشَاءَ حِينَ ذَهَبَ نِصْفُ اللَّيْلِ أَوْ قَالَ ثُلُثُ اللَّيْلِ فَصَلَّى الْعِشَاءَ ثُمَّ جَاءَهُ لِلْفَجْرِ حِينَ أَسْفَرَ جِدًّا فَقَالَ قُمْ فَصَلِّهْ فَصَلَّى الْفَجْرَ ثُمَّ قَالَ مَا بَيْنَ هَذَيْنِ وَقْتٌ .
Maksudnya : Dari Jabir ibn Abdillah dan beliau adalah orang-orang Ansar : “ Jibril a.s telah datang kepada Nabi Muhammad SAW, dan Beliau berkata : “ Bangun dan solatlah!” Maka Nabi SAW bersolat zuhur ketika matahari telah gelincir. Kemudian datang pula Jibril ketika waktu Asar dan berkata : “ Bangun dan solatlah!” Maka solatlah baginda SAW ketika panjang bayang menyamai panjang sesuatu objek. Kemudian datang pula Jibril ketika waktu maghrib dan berkata : “ Bangun dan solatlah!” Maka solatlah baginda SAW ketika matahari telah terbenam. Kemudian datang pula Jibril ketika waktu Isya’ dan berkata : “ Bangun dan solatlah!” Maka solatlah baginda SAW ketika hilangnya syafaq ( ahmar ). Kemudian datang pula Jibril ketika waktu fajar ( Subuh ) dan berkata : “ Bangun dan solatlah!” Maka solatlah baginda SAW ketika fajar menyinsing atau katanya ketika fajar telah terbit terang.
Keesokkannya datang pula Jibril ketika waktu Zuhur dan berkata : “ Bangun dan solatlah!” Maka solatlah baginda SAW ketika ketika panjang bayang menyamai panjang sesuatu objek. Kemudian datang pula Jibril bagi menunaikan solat Asar dan berkata : “ Bangun dan solatlah!” Maka solatlah baginda SAW ketika ketika panjang bayang menyamai 2 kali ganda panjang sesuatu objek. Kemudian datang pula Jibril untuk menunaikan solat Maghrib seperti masa yang sama kelmarin tanpa ada perubahan. Kemudian datang pula Jibril ketika berlalu 1/2 malam atau katanya 1/3 malam. Maka baginda SAW pun bersolat Isyak. Kemudian datang pula Jibril untuk solat Subuh hari sudah terang dan berkata : “ Bangun dan solatlah!” Maka baginda SAW pun bersolat Subuh. Maka Jibril pun berkata : “ Di antara kedua waktu itu ialah waktu solat.”
BAGAIMANAKAH PENETAPAN WAKTU-WAKTU SOLAT DITENTUKAN?
Waktu solat adalah ‘tanda waktu ibadah’ yang ditunjukkan oleh matahari sebagai rujukan (al-Sabab). Untuk tujuan itu, berdasarkan huraian para ulama fiqh berdasarkan nas-nas al-Quran dan Hadis, ahli-ahli fiqh dan falak telah menetapkan posisi matahari yang sepadan bagi tanda-tanda bermulanya setiap waktu solat.
-
Zuhur : Gelincir Matahari
-
Asar : Panjang Bayang Sama Panjang Tiang
-
Maghrib : Terbenam Matahari
-
Isyak : Hilang Syafaq Ahmar
-
Subuh : Terbit Fajar Sadiq
-
Syuruk : Terbit Matahari
BAGAIMANA TAKWIM WAKTU SOLAT DISUSUN?
Takwim solat disusun berdasarkan jadual pergerakan matahari yang ditetapkan oleh fiqh. Ia dihitung berdasarkan sudut matahari dan formula yang dihasilkan oleh para ulama falak hasil cerapan yang dilakukan dalam tempoh yang lama. Malah kajian ini telah dilakukan oleh para ilmuan falak seawal zaman khilafah Abbasiyah. Kajian ini diperkemas dan terus diperbaiki oleh ilmuan falak di nusantara dan pada era moden pada hari ini. Kajian ini dibentang dan dibahaskan dalam muzakarah dan munaqasyah, malah boleh dirujuk dan dibaca dalam pelbagai artikel, buku dan jurnal. Malah setiap kajian yang dibentangkan ada yang ditolak, ada yang perlu diperbaiki dan yang diterima. Begitulah rumit dan telitinya persoalan berkaitan waktu solat dibahaskan. Ini tidak lain kerana, ia melibatkan ibadah paling utama dan tiang dalam Islam iaitu solat.
Secara lebih khususnya sudut matahari yang digunakan di Malaysia hari ini adalah seperti berikut :
-
Zuhur : Gelincir Matahari = 0 °16’
-
Asar : Panjang Bayang Sama Panjang Tiang = ½ dari nilai sudut waktu Istiwa dan waktu maghrib.
-
Maghrib : Terbenam Matahari = 90° 50’
-
Isyak : Hilang Syafaq Ahmar = 108°
-
Subuh : Terbit Fajar Sadiq = 108°
-
Syuruk : Terbit Matahari = 90° 50’
AGENSI MANAKAH YANG MENYUSUN WAKTU SOLAT?
Dalam konteks kita di Malaysia, waktu solat disusun oleh Jabatan Mufti Negeri-negeri berdasarkan formula yang disepakati seperti di atas. Hasil hitungan telah melalui proses semakan dan pengesahan dari AJK Falak Negeri yang terdiri tuan-tuan guru dan para ahli akademik yang mahir dalam ilmu falak dan wakil -wakil agensi yang terlibat secara rasmi dalam ilmu falak seperti JUPEM yang kemudiannya telah disahkan pula oleh S.S Mufti.
Malah menjadi rutin bagi Jabatan Mufti Negeri dengan kerjasama JAKIM sering mengadakan semakan secara cerapan bagi menguji ketepatan waktu solat yang dipaparkan dalam takwim. Semakan ini dilakukan berdasarkan perubahan kedudukan matahari di utara dan selatan sepanjang tahun di semua lokasi di Malaysia bahkan di nusantara.
WAKTU ZUHUR TIDAK TEPAT SEBAB TAKUT SOLAT DI WAKTU TAHRIM?
Waktu tahrim sebelum masuknya waktu zuhur ialah kedudukan matahari sedang istiwa atau berada tepat di atas kepala. Jika sesiapa yang pernah mengukur waktu istiwa, ia hanya dalam lingkungan beberapa minit saja. Umumnya waktu tahrim ialah waktu istiwa sebelum masuk waktu zuhur iaitu dalam lingkungan 4 minit. Maknanya jika waktu zuhur jam 1.04 tghr, waktu tahrim bermula pada jam 1.00 tghr. Ini berdasarkan saiz matahari yang hanya 32 arka minit yang bersamaan dengan 2 minit 8 saat.
Maka tidak perlu dilewatkan sehingga 10-15 minit waktu Zuhur jika semata-mata KHUATIR (SYAK) solat di waktu yang haram. Ini kerana waktu solat telah masuk dengan YAKIN. Perkara yang YAKIN tidak boleh ditolak dengan SYAK. Inilah yang dipegang dalam isu fiqh. Malah tidak timbul isu solat zuhur di waktu tahrim sebab dalam isu ini, isu yang lebih besar ialah isu solat sebelum masuk waktu Zuhur. Namun isu ini juga tidak berbangkit kerana waktu Zuhur telah masuk bila gelincirnya matahari iaitu keseluruhan bulatan matahari melepasi khat nifsu nahar (garisan tengahari).
BAGAIMANA PULA WAKTU MAGHRIB, KHUATIR JUGA TAKUT TERSOLAT DI WAKTU TAHRIM ?
Waktu Maghrib masuk bila matahari terbenam. Ketika matahari sudah terbenam, cahaya matahari masih wujud di langit yang disebut sebagai syafaq. Jadi memang ketika waktu solat Maghrib suasana masih lagi cerah sebab ketika ini syafaq masih wujud di langit. Kewujudan syafaq inilah menandakan masuknya waktu Maghrib.
Hampir sama dengan isu waktu Zuhur, waktu tahrim sebelum masuknya waktu Maghrib tidak sampai 15-20 minit. Ini kerana waktu tahrim adalah dalam lingkungan 3 minit (kajian dari Jabatan Mufti Pulau Pinang) sebelum masuk waktu Maghrib. Sekali lagi contoh mudah jika sekiranya Maghrib 7.03 malam, waktu tahrim bermula jam 7.00 malam.
Dengan diameter matahari hanya dalam 32 arka minit yang bersamaan dengan 2 minit 8 saat, waktu tahrim adalah sangat pendek.
MENGAPA FAJAR SADIQ TIDAK KELIHATAN LAGI WALAUPUN DAH MASUK WAKTU SUBUH ?
Masuknya waktu Subuh ialah dengan muncul fajar sadiq. Para ulama sejak dulu mengkaji bilakah terbitnya fajar sadiq. Oleh sebab itu para ulama telah membuat penelitian dan mendapati sinar fajar sadiq ini terbahagi pada 3 bahagian. Dalam pengajian falak kami dengan Tuan Guru Ust, Hanafiah Bin Abdul Razak, cahaya fajar pertama disebut ‘nur al-Sobah’, kedua ‘nur al-Bukur’ dan ketiga ‘nur al-Mu’taridh”. Nur al-Sobah adalah waktu awal kenampakan fajar sadiq di ufuq sehingga kelihatan seperti benang putih yang merentas ufuk di tengah langit hitam malam. Ia sebenarnya hanya dapat dilihat dalam keadaan cuaca baik (tidak berawan) terutama pada bulan mac dan september rendah di ufuk. Nur al-Bukur dan Mu’taridh adalah cahaya fajar sadiq yang dapat dilihat setelah cahaya fajar semakin meninggi di ufuk timur.
Dalam hitungan, sudut matahari ketika fajar telah pun mengalami perubahan iaitu dari 20° dilewatkan lagi kepada 18°. Sebenarnya nilai waktu Subuh mempunyai nilai yang beragam sesuai dengan kajian para ilmuan falak. Namun kesemuanya mempunyai asas kajian. Sebagai perkongsian nilai sudut matahari yang digunakan oleh ilmuan islam : 20° telah digunakan oleh Imam al-Marrakushi, nilai 19° pula digunakan oleh Imam Ibn Yunus, Ibn Shatir dan al-Tusi. Nilai 18° pula digunakan oleh Ibn al-Haytham. Dalam konteks di nusantara pula nilai 20° adalah merujuk kepada dapatan Syeikh Tahir Jalaluddin.
Perubahan yang digunakan sekarang berdasarkan kajian dan ijtihad semasa dalam usaha penambahbaikan waktu solat agar ia lebih tepat dan meyakinkan. Malah nilai ini juga selari dengan dapatan para ilmuan falak hari ini.
Jadi secara mudahnya, cahaya fajar sadiq yang terawal inilah yang disebut Nur al-Sobah yang dijadikan rujukan menandakan masuknya waktu Subuh. Ia boleh dilihat dengan mata kasar, cuma kena pada musim yang sesuai dan lokasi yang tepat. Nilai sudut matahari ketika fajar sadiq ini ialah 18° sesuai dengan kedudukan kita di khatulistiwa dan cuaca di nusantara ini.
WUJUDKAH KESILAPAN DALAM PENENTUAN WAKTU SOLAT?
Tidak dinafikan wujudnya kesilapan dan perbezaan dalam penetapan waktu solat di dalam masyarakat. Ia berlaku dalam beberapa keadaan :
-
Ada pihak yang menggunakan sumber takwim solat dari pihak persendirian atau pihak luar yang menggunakan formula dan parameter yang berbeza dari pihak berkuasa negeri. Jika ini berlaku kemungkinan takwim solat itu boleh berbeza dan tersilap.
-
Kebanyakkan masjid / surau banyak menggunakan jam digital untuk rujukan waktu solat. Namun kesilapan paparan jam di masjid atau surau yang mungkin lewat atau cepat dari waktu sebenar boleh berlaku, terutama dalam keadaan jam itu telah lama tidak diselenggara.
Dalam kedua-dua keadaan, kemungkinan azan dikumandangkan tidak pada waktunya sama ada ia awal atau lewat dari waktu yang sebenar. Maka berlakulah azan Maghrib pada waktu matahari masih kelihatan atau azan subuh sebelum kelihatannya fajar.
KESIMPULAN
Solat adalah tiang agama dan perkara-perkara yang melibatkan solat seperti rukun, syarat dan mani’ adalah satu perkara yang sangat penting dan perlu diteliti dengan asas yang kukuh. Maka persoalan waktu solat yang merupakan perbahasan syarat sah dalam solat bukan soal main-main.
Mungkin mereka yang mula menimbulkan hal ini berniat baik untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat. Alhamdulillah, jika itu niatnya. Namun saya ingin mencadangkan kepada mana-mana pihak yang mempunyai kemusykilan tentang hal ehwal falak seperti waktu solat, arah kiblat dan lain-lain dapat merujuk kepada Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri atau JAKIM agar mendapat penjelasan sewajarnya. Rujuklah waktu solat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama. Ini kerana jika ada masalah senanglah kita buat aduan dan mohon penjelasan.
Moga penjelasan ringkas ini dapat memberikan sedikit pencerahan terhadapan isu yang dibangkitkan.
Sekian, wassalam.