- Malaysia menetapkan 1 Syawal 1447H berdasarkan kaedah rukyah dan hisab selaras dengan nas sahih Rasulullah SAW:
“Berpuasalah kamu apabila melihat anak bulan dan berbukalah apabila melihatnya. Jika mendung, sempurnakanlah 30 hari Syaaban.” (Sahih Bukhari). - Data rasmi menunjukkan kedudukan anak bulan tidak memenuhi Kriteria Imkanurukyah (KIR) MABIMS, yang dipersetujui oleh negara Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura.

- Khamis, 19 Mac 2026 ditetapkan sebagai tarikh cerapan rasmi di 29 lokasi seluruh Malaysia. Peluang untuk mencerap anak bulan adalah 13–15 minit bermula selepas matahari terbenam sehingga bulan terbenam.
- Sahibus Samahah Mufti-Mufti akan mengetuai Jawatankuasa Rukyah di setiap negeri bagi memastikan cerapan anak bulan dijalankan secara teratur dan tepat.
- Tarikh 1 Syawal 1447H akan diumumkan secara rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja setelah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
- Persatuan Jurufalak Syarie (JUFAS) mengucapkan selamat menunaikan fardu kifayah kepada semua Ahli Jawatankuasa Rukyah Negeri dan pihak terlibat dalam cerapan anak bulan Syawal 1447H. Semoga segala usaha dan pengorbanan anda semua dibalas dengan sebaik-baik ganjaran daripada Allah SWT.
