Kemungkinan Negara Eropah & Timur Tengah Raya Jumaat 21 April 2023?

Oleh: Persatuan Jurufalak Syarie

1 Syawal 1444/2023 dengan izinNya akan raya. Pedoman baginda Nabi Muhammad S.A.W menjadi sandaran para ulama dan pemerintah. Kaedah hisab (pengiraan) dan rukyah (cerapan) sebagai panduan.

Rasulullah SAW bersabda: “Berpuasalah kamu apabila melihat anak bulan dan berbukalah (berhari raya) sekiranya melihat anak bulan. Sekiranya mendung, maka sempurnakanlah 30 hari Syaaban” (Sahih Bukhari).

Rasulullah SAW bersabda: Jangan kamu berpuasa sehingga kamu melihat anak bulan dan jangan kamuberbuka sehingga kamu melihat anak bulan. Sekiranya mendung, maka taqdirkanlah” (Sahih Bukhari)

 

Kebanyakan Negara Akan Mencerap Bulan Pada Khamis, 20 April 2023.

 

2.     Mengikut Pusat Astronomi Antarabangsa sebanyak 32 negara telah mula berpuasa pada 23 Mac 2023 (Khamis). Hanya dua buah negara sahaja iaitu Bangladesh dan India mula berpuasa pada 24 Mac 2023 (Jumaat). Oleh demikian, negara-negara seperti Timur Tengah, Afrika, Eropah dan rantau Asia Tenggara akan mencerap anak bulan pada 20 April 2023 (khamis). Bagi beberapa 32 negara terbabit, kenampakan anak bulan akan menentukan tarikh hari raya sama ada 21 April 2023 (Jumaat) atau 22 April 2023 (sabtu).

3.       Peredaran bulan mengelilingi Bumi pada tempoh 29.5 hari menyebabkan berlaku fasa-fasa bulan. Terdapat fasa anak bulan, bulan separa, bulan penuh/purnama, seterusnya anak bulan tua. Dalam fasa-fasa Bulan, terdapat fasa New moon, conjunction, iqtiran, atau Ijtimak. Ia merujuk kepada bumi, bulan, matahari berada pada logitude yang sama. Pada saat ini, bulan sama sekali tidak kelihatan dari permukaan bumi kerana seluruh bahagian yang disinari matahari membelakangi bumi.

Ijtimak, Iqtiran atau Conjunction 
Sumber: https://moonblink.info/Eclipse/why/months

4.       Ijtimak ini penting dalam menentukan umur anak bulan kerana anak bulan akan kelihatan setelah berlakunya ijtimak. Seperti umur manusia, ia mula dikira sejak bayi dilahirkan dan umur semakin meningkat kepada hari, minggu, bulan, tahun dan seterusnya sehingga kepada satu tempoh yang tidak pasti iaitu kematian. Bagi bulan pula, umurnya bermula apabila  setelah berlakunya ijtimak, kemudian meningkat kepada saat, minit, jam, hari dan seterusnya sehingga kepada satu tempoh yang tetap iaitu 29.5 hari. Setelah bulan berumur 29.5 hari, ijtimak seterusnya akan mengambil tempat untuk bulan berikutnya dan begitulah seterusnya. Umur bulan ini adalah berbeza-beza bagi setiap negara bergantung kepada kedudukan negara tersebut. Apabila semakin besar umur bulan maka semakin luas kawasan bulan yang bercahaya dan semakin tinggilah peluang untuk anak bulan kelihatan.

Sumber: Jabatan Mufti Selangor

Negara yang berada disebelah Barat lebih berpeluang melihat anak bulan berbanding negara disebelah timur

 

5.       Sebagai contoh, Malaysia dan Saudi akan melakukan cerapan anak bulan Syawal 1444H pada waktu maghrib, hari Khamis 20 April 2023/29 Ramadan 1444H. Di Malaysia, data menunjukkan ijtimak berlaku pada jam 12.12 tengahari. Umur bulan ketika waktu maghrib (7.31 petang) lebih kurang 7 jam. Bagi negara Arab Saudi pula, ijtimak berlaku pada jam 5:55 pagi. Umur bulan ketika waktu maghrib (6.22 petang), lebih kurang 12 jam. Ini disebabkan oleh perbezaan masa antara negara Arab Saudi dengan Malaysia adalah sebanyak 5 jam. Oleh itu, bentuk sabit bulan di Arab Saudi lebih besar sedikit berbanding Malaysia. Peluang kenampakan anak bulan di Saudi lebih baik berbanding Malaysia. Negara-negara yang berada di sebelah barat berpeluang melihat anak bulan lebih cerah berbanding negara yang terletak di sebelah timur. Kemungkinan beberapa negara Arab dapat melihat anak bulan dengan bantuan teleskop. Negara-negara tersebut ialah Libya, Tunisia, Algeria, Maghribi.

 

 

Data anak Bulan di Malaysia Tidak Memenuhi Kriteria Imkanurukyah

6.       Malaysia mengamalkan rukyah (cerapan) dan hisab (kiraan) berdasarkan kriteria imkanurukyah. Mengikut kriteria tersebut: “Ketika matahari terbenam ketinggian bulan tidak kurang 3 darjah dan jarak lengkung Bulan dan Matahari (elongasi) tidak kurang dari 6.4 darjah”.    Data hitungan rasmi di Malaysia telah dikeluarkan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). Anak bulan akan dicerap pada Khamis, 20 April 2023/29 Ramadan 1444. Anak bulan tidak memenuhi kriteria imkanurukyah berbanding dengan negara-negara lain.

Sumber: Astroawani

Sabar Menunggu Sehingga Proses Selesai

7.   Hasil cerapan anak bulan kelihatan atau tidak kelihatan, tetap akan diambil kira dalam prosedur membuat keputusan walaupun data-data menunjukkan anak bulan berkenaan tidak memenuhi kriteria imkanurukyah. Justeru, proses ini masih belum selesai dan akan berlangsung pada 29 Ramadan 1444 ini. Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja selaku Ketua Agama Negeri-Negeri akan memberi perkenan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan tarikh hari raya bagi negara kita setelah menerima laporan dari 29 buah lokasi cerapan di seluruh negara. Pengumuman rasmi akan dilakukan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Proses ini dilaksanakan sesuai dengan tanggungjawab selaku ulil amri sebagaimana yang ditetapkan oleh syarak. Justeru, marilah kita berlapang dada dan mengikuti proses ini hingga selesai dengan sabar.