Kuala Lumpur: Masjid Jamek Al-Khadijiah telah menganjurkan program semakan arah kiblat di kawasan Pantai Dalam. Ketua Imamnya, Ustaz Shahril Abd Samat berkata, 56 buah rumah anak qariah telah berjaya di semak arah kiblat pada kali ini. Lebih 70 % daripada peserta yang berdaftar iaitu 41 Rumah dalam kalangan asnaf dan ditaja oleh pihak Masjid jamek al-Khadijiah. Program ini hasil kerjasama dengan Persatuan Jurufalak Syarie (JUFAS), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan serta sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswi-mahasiswi Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Ustaz Shahril Abd Samad Imam Masjid Jamek Al-Khadijiah
Menurut Encik Khairul Anuar Yazid, setiausaha JUFAS dan juga Setiausaha program “Satu Kiblat yang Sama”.
“JUFAS merupakan satu NGO’s dianggotai oleh kakitangan falak dari pejabat/jabatan Mufti di seluruh Malaysia. Program ini merupakan khidmat sosial kami kepada masyarakat. Proram dimulakan dengan penerangan ringkas mengenai kaedah yang digunakan dalam pengukuran kiblat kepada peserta. Seterusnya soal jawab kemusykilan agama berkaitan kiblat dalam kalangan peserta dibincangkan. Contohnya, sekiranya mayat yang meninggal di rumah, kaki atau kepala si mati perlu dihadapkan ke arah kiblat. Kemudiannya petugas-petugas JUFAS akan menanyakan kepada peserta berkenaan arah kibat yang sedia ada. Setelah kerja-kerja pengukuran arah kiblat selesai, pelekat khas kiblat dari JUFAS dilekatkan pada syiling rumah peserta Kebanyakkan rumah peserta yang menyertai program ini telah menghadap ke arah kiblat. Namun, terdapat beberapa pembetulan arah kiblat yang dilakukan oleh petugas selepas semakan dilakukan agar lebih tepat. Terdapat juga kes terpencil dimana arah kiblat yang ditunjukkan oleh peserta tersasar 180 darjah. Setelah penyemakan kiblat dibuat oleh petugas, pelekat khas ditampal mengikut arah kiblat yang tepat. Ini membuktikan bahawa program ini penting dalam mendidik dan berdakwah secara tidak langsung bagi menjelaskan kepentingan kiblat serta solat kepada asnaf. Kami berharap dakwah bilhal ini dapat memberikan sumbangan yang berkesan kepada masyarakat.