Persidangan Persiapan Cerapan Anak Bulan Bulan Syawal 1443

Kuala Lumpur:-22 April 2022/20 Ramadan 1443H,   Persatuan Jurufalak Syarie (JUFAS) dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Perak, Jabatan Mufti Selangor, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini mengadakan Persidangan Persiapan Cerapan Anak Bulan Syawal 1443. 

Program ini merupakan medan perkongsian maklumat mengenai cerapan syawal 1443 dan isu-isu berkaitan. Program (tertutup) secara dalam talian ini dihadiri oleh kakitangan Jabatan Mufti Negeri-Negeri, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Seksyen Falak, Bahagian Penyelidikan  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta ahli  JUFAS.

Pada peringkat awal persidangan, tiga orang panel telah membentangkan isu-isu berkaitan penentuan awal Syawal 1443. Program dimulakan dengan Dr  Mohd Saiful Anwar Mohd Nawawi (Pengerusi  JUFAS) membincangkan Isu Rukyah-Hisab pada 29 Ramadan 1443.

Manakala Dr Nazhatulshima Ahmad (Jabatan Fizik, Fakulti Sains UM) mengupas dari aspek Analisis Data Anak Bulan, Prospek Kenampakan & Cuaca. Seterusnya  Ustaz Angku Bolkhizan bin A Ahmad (Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Cawangan Labuan) mengulas dari aspek Keperluan Persiapan Teknikal Cerapan anak bulan Syawal 1443.  

Semasa sesi soal jawab, Ustaz Tuan Haji Hardi bin Mohamad Sadali yang merupakan Ketua Bahagian Falak Jabatan Mufti Selangor mengingatkan para pencerap agar perlu fokus mempersiapkan mental dan fizikal dalam usaha mencerap anak bulan Syawal 1443 . Perbincangan yang dikendalikan oleh  Ustaz Shahril Azwan Hussin (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)) tamat seperti yang dijadualkan.

Rekaan Poster oleh Jabatan Mufti Selangor